[VIDEO]Semuanya halal di Nippon Sushi - Utusan Malaysia

[VIDEO]Semuanya halal di Nippon Sushi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 15 Mac – KEENAKAN rasa dan ke­telitian dalam penyediaan penuh kreatif menjadikan sushi antara seni kulinari asing paling popular di negara ini.

Namun bagi penggemar sushi yang beragama Islam, kepuasan menikmati sajian dari negara matahari terbit itu pasti tidak ‘kesampaian’ tanpa jaminan status halal.

Ini kerana masih banyak restoran sushi yang menggunakan ramuan tidak halal seperti sake iaitu sejenis arak yang bia­sanya dicampur dalam nasi dan juga mirin di dalam kicap.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menyedari permintaan yang tinggi terhadap pasaran sushi halal di negara ini, Siti Noraini Nuawi yang berpengalaman dalam pengurusan bebe­ra­pa jenama restoran francais memperkenalkan Nippon Sushi.

Pengarah restoran itu berkata, ilham untuk membuka restoran berkenaan datang daripada ke­sedaran untuk menyediakan sajian halal untuk seisi keluarga.

“Saya dan anak-anak adalah penggemar setia sushi tapi kami sedar ada banyak restoran sushi yang tidak halal.

“Apabila ditawarkan peluang membuka restoran halal bagi memenuhi keperluan umat Islam oleh rakan kongsi, saya terus rebut peluang kerana ia sebahagian daripada tanggungjawab,’’ ujar bekas pegawai bank itu.

Siti Noraini berkata, restoran yang terletak di Seksyen 9 Bandar Baru Bangi itu kini menyediakan lebih daripada 200 menu hidangan makanan Jepun yang mendapat pengiktirafan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Nippon Sushi mendapat sijil halal daripada Jakim untuk semua bahan yang digunakan.

“Selain itu, dapur berpusat yang menyediakan produk-produk Nippon Sushi juga disahkan halal,’’ ujarnya.

Mengulas mengenai keaslian rasa sushi tanpa penggunaan bahan tertentu (tidak halal), Siti Noraini mengakui telah me­nemui resipi tersendiri yang tidak mengubah rasa sebenar makanan tersebut.

“Kami tidak menggunakan sake atau mirin. Ia digantikan dengan bahan lain yang mempunyai profil rasa yang sama dan pelanggan boleh makan semua hidangan tanpa was-was.

“Barisan tukang masak kami pula diketuai cef yang berpe­ngalaman selama lebih 20 tahun dalam kulinari Jepun,’’ katanya.

Tambahnya, antara hidangan yang menjadi kegemaran pe­langgan di Nippon Sushi adalah Crunchy Salmon, Oyster Cheese Yaki, UnaKing, Gyuniku Karubi Sauce, Teppan dan Mentai Sos yang diperbuat daripada telur ikan kod.

“Kekuatan kami bukan sahaja terletak pada rasa sushi yang sebenar tetapi juga harga yang berpatutan.

“Hidangan paling murah ditawarkan pada harga RM2.10 (pin-plate) dan yang paling mahal adalah Sashimi yang berharga RM69.90,’’ ujar beliau.

Menariknya, selain hida­ngan pin-plate yang berputar mengelilingi meja pelanggan di atas konveyor, restoran ini turut menggunakan kecanggihan teknologi robot yang mampu menghantar menu-menu ter­tentu terus ke meja pelanggan.

Siti Noraini berkata, ekoran sambutan menggalakkan yang diterima, pihaknya akan membuka tiga lagi cawangan baharu pada tahun ini iaitu di Klang, Gombak di Selangor dan Batu Pahat, Johor.

Nippon Sushi terletak di No 8 Jalan Medan PB2A, Seksyen 9, Bandar Baru Bangi, Selangor dan beroperasi setiap hari dari pukul 11 pagi hingga 11 malam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini