KUALA LUMPUR 15 Mac- Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim merancang untuk menulis blog bagi berkongsi pengalaman kepada masyarakat berkaitan tugas Polis Diraja Malaysia (PDRM) selepas beliau bersara, Ahad Ini.
Menurut beliau, masyarakat perlu mengetahui apa yang telah dilakukan pegawai serta anggota polis demi menjalankan tanggungjawab terhadap negara.
“Selain menjalankan aktiviti pertanian yang merupakan hobi saya, saya mungkin akan tulis blog berkaitan tugas PDRM, pengorbanan yang telah dilakukan oleh warga polis. Pengorbanan saya hanya sedikit berbanding mereka yang kehilangan nyawa ketika bertugas.
“Malah, polis bekerja lebih 12 jam demi menjaga keamanan negara jadi itu yang saya rasa masyarakat perlu tahu apa yang kita lalui demi negara tercinta,” katanya dalam Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Negara dan Naib Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur di sini hari ini.
Dalam pada itu, Noor Rashid turut merakamkan setinggi penghargaan kepada semua pegawai kanan dan anggota PDRM yang bekerjasama sepanjang 35 tahun berkhidmat dalam pasukan itu.
Jelasnya, beliau percaya PDRM akan terus maju ke peringkat yang lebih tinggi jika seluruh warga pasukan itu sentiasa setia, berdisiplin dan mengamalkan semangat setiakawan dalam menjalankan tugas.
“Selamat maju jaya, harap kuat dan tabah mengharungi cabaran demi menjalankan amanah serta tanggungjawab yang diberi. Jika dilakukan dengan ikhlas, kamu akan berjaya,” katanya.
Noor Rashid mula memegang jawatan Timbalan Ketua Polis Negara pada 1 Disember 2014 bagi menggantikan Tan Sri Mohd. Bakri Mohd. Zinin yang bersara wajib.- UTUSAN ONLINE











