HULU TERENGGANU 23 Mac – Datuk Seri Najib Tun Razak berpesan kepada kepemimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN) agar jangan sekali-kali menabur fitnah terhadap lawan sebaliknya sentiasa berpegang kepada kebenaran dalam usaha meraih sokongan rakyat.
Pada masa sama bekas Perdana Menteri itu turut berharap supaya para pemimpin UMNO jangan melakukan serangan peribadi terhadap musuh politik kerana apa yang lebih penting adalah perjuangan perlu diteruskan demi kepentingan negara dan rakyat.
Beliau seterusnya yakin sokongan rakyat terhadap UMNO dan BN semakin menyerlah kerana rana mereka sudah dapat menilai apa yang dilakukan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) berbanding komitmen kerajaan terdahulu.
“Saya yakin akan teruskan usaha kita untuk jelaskan kepada rakyat tentang apa-apa perkembangan semasa, serta dasar-dasarnya. Tapi saya ingatkan jangan buat fitnah, sebaliknya kita cakap atas kebenaran, ada fakta berasas dan angka yang sebenar.
“Kita jangan serang peribadi, (sebaliknya) kita sebut tentang soal yang melibatkan kepentingan negara dan rakyat,” katanya.
Beliau yang semakin dikenali dengan jolokan Bossku menyatakan perkara itu kepada pemberita sewaktu meluangkan masa mengunjungi Stesen Bas Kuala Berang di sini dalam rangka lawatannya ke Terengganu hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said; timbalannya, Datuk Din Adam; Setiausaha Badan perhubungan itu, Datuk Rozi Mamat serta bekas Ketua UMNO Bahagian Hulu Terengganu, Datuk Tengku Putera Tengku Awang.
Najib seterusnya percaya rakyat yang sebelum ini menolak BN dan UMNO akan kembali menyokong parti keramat itu berdasarkan sambutan luar biasa yang diterima kebelakangan ini. – UTUSAN ONLINE











