[VIDEO] Tazkirah ganti titah ucapan Sultan Muhammad V - Utusan Malaysia

[VIDEO] Tazkirah ganti titah ucapan Sultan Muhammad V

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 18 Mac – Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V yang berkenan menyempurnakan Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan Ke-14 di Kompleks Kota Darulnaim, di sini membuat kelainan ketika sesi titah ucapan perasmian baginda hari ini.

Baginda yang kali pertama muncul di khalayak umum selepas meletak jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong XV berkuat-kuasa 6 Januari lalu, memulakan sesi tersebut dengan takbir memuji kebesaran Allah SWT dan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW.

Selepas itu, baginda mengarahkan rakaman video takzirah selama kira-kira empat minit disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Datuk Nasuruddin Daud dimainkan menggantikan titah ucapan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sebaik sahaja tazkirah selesai, baginda menyambung titah ringkas dengan merasmikan pembukaan Penggal Kedua DUN Kelantan Ke-14 Tahun 2019.

Terdahulu, keberangkatan tiba Sultan Muhammad V disambut Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob,Timbalannya, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah, Speaker DUN Kelantan, Datuk Abdullah Ya’kub serta barisan pemimpin negeri.

Turut berkenan mencemar duli ke istiadat tersebut, Tengku Mahkota Kelantan, Dr. Tengku Muhammad Fa-Iz Petra.

Pembukaan DUN bagi penggal ini agak unik apabila berlangsung serba ringkas tanpa istiadat perbarisan Pasukan Kawalan Kehormatan seperti biasa atas arahan Sultan Muhammad V sendiri. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini