KUALA LUMPUR 13 Mac – Seorang ibu cemas apabila anaknya berusia dua tahun nyaris diculik seorang wanita yang menyamar sebagai ahli keluarganya untuk mengambil kanak-kanak itu di sebuah taska semalam.
Ibu kanak-kanak terbabit, Nurhakimah Izzati Jaafar berkata, ketika kejadian dia tidak dapat mengambil anaknya di taska terbabit kerana urusan kerja lalu meminta bantuan adik iparnya untuk berbuat demikian.
“Semasa adik ipar sampai di depan pintu, dia cakap dengan guru taska tersebut mahu ambil anak buahnya dan tiba-tiba datang seorang wanita bertudung labuh memaklumkan turut mahu mengambilnya.
“Selepas itu guru taska tersebut memaklumkan kepada wanita itu bahawa anak saya telah diambil oleh ibu saudaranya lalu wanita itu kononnya melihat telefon bimbit sambil memberitahu tersalah taska,” katanya kepada Utusan Online di sini hari ini.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintenden Noor Azmi Yusoff mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian tersebut.-UTUSAN ONLINE











