PASIR GUDANG 7 Mac – Seorang pelajar pengsan manakala lima lagi muntah-muntah selepas sungai Kimkim berdekatan Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Pasir Putih dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Putih di sini pagi ini dipercayai dicemari tumpahan gas kimia.
Pelajar berkenaan yamg terdiri daripada lima lelaki dam seorang perempuan dikejarkan oleh pihak bomba ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di Johor Bahru untuk rawatan kecemasan.
Selain itu kesemua 1,400 murid dan guru dari kedua-dua sekolah berkenaan diarahkan pulang ke rumah serta-merta pagi ini termasuk sesi persekolaham pada petang ini dibatalkan.
Menurut Timbalan Ketua Zon 1, Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Lokman Hakim Sulaiman, pihaknya menerima panggilan pukul 5.15 pagi dan 17 anggota dikejarkan ke tempat kejadian.
“Maklumat diterima terdapat bau yang disyaki gas kimia di kawasan sungai. Hasil pemeriksaan terdapat kesan bahan kimia. Gas yang dikesan adalah jenis Methane (UN 1971).
“Pengosongan Kawasan telah dilakukan dalam jarak 500 meter melibatkan SMK Taman Pasir Putih dan SK Taman Pasir Putih yang melibatkan 1400 Pelajar dan Guru,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Sementara itu, pihak pengurusan kedua-dua sekolah tersebut sudah mengarahkan mereka semua pulang atas nasihat pihak bomba.
Menurut mesej yang disampaikan kepada ibu bapa menerusi aplikasi WhatApp, ini berikutan limpahan bahan kimia di Sungai Kimkim berdekatan dengan sekolah mereka.
“Ibu bapa boleh menjemput anak-anak sekarang dengan segera. Bagi yang nenaiki van, minta ibu bapa hubungi pemandu van utk ambil anak-anak di sekolah.
“Ibu bapa yang tidak dapat menjemput anak, boleh maklumkan kepada guru kelas.
“Sesi petang juga ditangguhkan pada hari ini. Murid sesi petang tidak perlu hadir ke sekolah.
Terima kasih,” demikian menurut pesanan ringkas tersebut. – UTUSAN ONLINE











