[VIDEO] Operator kilang dijel 30 bulan cabul, rompak pemandu Grab - Utusan Malaysia

[VIDEO] Operator kilang dijel 30 bulan cabul, rompak pemandu Grab

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT – Perbuatan jahat seorang operator kilang mencabul dan merompak seorang pemandu Grab mendapat balasan setimpal apabila dihukum penjara 30 bulan oleh Mahkamah Majistret Teluk Datok di sini hari ini.

Hukuman itu diputuskan Majistret Mohd. Isa Md. Nor selepas tertuduh, Haikal Harun, 22, mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mohd. Isa memerintahkan hukuman penjara 15 bulan bagi setiap pertuduhan yang dijalankan secara berasingan bermula dari tarikh tertuduh ditangkap.

Memuatkan artikel berkaitan…

Mengikut pertuduhan pertama, Haikal yang juga operator sebuah kilang di Ara Damansara didakwa menggunakan kekerasan jenayah kepada seorang wanita berusia 29 tahun dengan memeluk, mencium dan meraba mangsa untuk mencabul kehormatannya di dalam sebuah kereta.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan (KK) dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana daripada hukuman itu.

Tertuduh juga berdepan satu lagi pertuduhan iaitu didakwa cuba melakukan rompakan terhadap pemandu Grab itu dengan menggunakan sebilah pisau untuk meminta wang namun gagal.

Justeru, dia boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun serta denda mengikut Seksyen 393 KK.

Kedua-dua perbuatan itu dilakukan di sebuah kawasan berhampiran Kondominium Koi Prima, Taman Mas, Kuala Langat pada 3 Mac lalu kira-kira pukul 5.38 pagi.

Terdahulu, pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya Amir Saifullah Mohammad Sallehuddin memohon hukuman setimpal kepada tertuduh sebagai pengajaran kepadanya serta masyarakat.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu supaya meringankan hukuman kerana telah insaf dan mahu membantu keluarga. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini