[VIDEO] Masalah penyewa dapat perhatian Perdana Menteri - Utusan Malaysia

[VIDEO] Masalah penyewa dapat perhatian Perdana Menteri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PULAU PINANG 7 Mac – Masalah yang menimpa penyewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Manggis, Georgetown serta penduduk di Tanah Wakaf Abdul Cauder, Jalan Mengkuang, Butterworth hari ini mendapat perhatian Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Video oleh SAFINA RAMLI

Dr. Mahathir yang kini berada di Manila menerusi Twitter memaklumkan beliau telah mengarahkan pegawai untuk meninjau masalah yang dihadapi penduduk terlibat.

Memuatkan artikel berkaitan…

Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Abu Bakar Yahya berkata, dia yakin masalah-masalah tersebut akan dapat diselesaikan dengan segera.

“Pada saya tiada masalah yang tidak boleh diselesaikan, saya datang dengan kapasiti sebagai Setiausaha Politik Perdana Menteri jadi semua pihak kena faham.

“Saya akan berjumpa dengan semua pihak terlibat iaitu kerajaan negeri, penyewa, Bahagian Perumahan, penduduk dan lain-lain kerana mahu mendapatkan sumber maklumat yang sahih,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Tanjong di sini hari ini.

Menurut Abu Bakar pada masa ini semua pihak perlu memberikan kerjasama bagi memastikan isu ini dapat diselesaikan dengan secepat mungkin.

“Selepas meninjau keadaan penyewa di PPR Taman Manggis saya akan ke Tanah Wakaf Abdul Cauder, Jalan Mengkuang pula bagi mendapatkan maklumat sebenar apa yang berlaku.

“Kita ada biro kebajikan kerajaan yang boleh membantu mereka yang terlibat cuma ia bergantung sama ada mereka mahu menerima bantuan atau tidak,” katanya.

Bagaimanapun, kira-kira 8 malam selepas Abu Bakar meninjau keadaan penyewa PPR Taman Manggis di perkarangan Komtar keadaan menjadi tegang apabila penyewa terlibat mendakwa Abu Bakar gagal menyelesaikan masalah mereka.

Penyewa cuba menyekat kenderaan yang membawa keluar Abu Bakar dari Komtar namun keadaan berjaya ditenangkan dengan kehadiran pihak polis.

Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Shameer Sulaiman yang turut berada di lokasi bagi meninjau keadaan penyewa di situ turut terpaksa dibawa keluar dari kawasan Komtar dengan bantuan pihak polis.

Setakat pukul 8 malam, penyewa masih berkumpul di perkarangan Komtar untuk mendesak kerajaan negeri menyelesaikan masalah mereka. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini