KUALA LUMPUR 20 Mac – Sebanyak 45 kenderaan disita dalam Operasi Khas Pewa Siri 01/2019 yang dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sekitar Ampang, di sini hari ini.
Dalam operasi bermula pukul 10 pagi yang turut disertai penguat kuasa Jabatan Imigresen itu, sebanyak 51 warga asing turut ditahan atas pelbagai kesalahan.
Pengarah JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Ismail Mohd. Zawawi berkata, sebanyak 194 notis dikeluarkan untuk pelbagai kesalahan antaranya tiada lesen memandu, insurans dan cukai jalan tamat tempoh serta ubah suai kenderaan yang tidak mengikut spesifikasi.
“Kebanyakan warga asing ini mengaku meminjam atau menyewa kenderaan yang digunakan. Oleh itu saya ingin memberikan peringatan kepada rakyat negara ini bahawa perbuatan mereka itu adalah satu kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan.
“Sekiranya penunggang atau pemandu warga asing ini ditahan, pemilik kenderaan tersebut juga akan disaman dan kalau kita dapati kesalahan itu berulang, kadar kompaun maksimum akan diberikan,” katanya dalam sidang akhbar di Laman Rekreasi Taman Tasik Tambahan, Ampang di sini hari ini.
Menurut Ismail, operasi yang menumpukan kepada warga asing itu dijalankan selepas menerima aduan awam di kawasan tersebut.
“Mereka ini bukan sahaja membahayakan nyawa mereka, malah keselamatan penduduk tempatan turut terganggu.
“Kenderaan yang mereka gunakan selalunya tidak mengikut spesifikasi dan sekiranya berlaku kemalangan ia akan menyusahkan semua pihak terutama penduduk tempatan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











