LUMUT 23 Mac – Seorang ibu mengalirkan air mata kerana tidak menyangka anaknya berjaya menghafaz al-Quran sebanyak 30 juzuk dalam masa setahun sebulan di Maahad Tahfiz Bayt Al-Ikhlas di sini.
Video oleh: Kamal Basir Wahab
Jamiatul Adawiyah Jidin, 33, mengakui anaknya, Zaiim Wafiy Zarlil, 14, sebelum ini merupakan seorang yang tidak boleh lekang dengan telefon pintar.
Menurut Jamiatul Adawiyah, dia sedikit pun tidak meletakkan sebarang harapan ketika menghantar anak sulung daripada tiga beradik itu ke maahad tahfiz berkenaan.
Apatah lagi katanya, pada peringkat awal, dia turut meragui maahad tahfiz tersebut kerana Zaiim Wafiy merupakan sebahagian daripada 20 pelajar kumpulan pertama yang memulakan pengajian di situ pada 14 Januari tahun lalu.
“Namun, apa yang saya tidak boleh lupakan apabila dia menyerahkan sendiri telefonnya kepada saya kerana dia dengan rela hati ingin memasuki maahad ini.
“Jadi, saya memang emosi sedikit lebih-lebih lagi terkenangkan arwah ayahnya yang meninggal dunia ketika dia baru berusia awal 12 tahun, ada hikmah di sebalik semua ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Jamiatul Adawiyah berkata demikian ketika ditemui pada majlis Anugerah Hafazan al-Quran Maahad Tahfiz Bayt Al-Ikhlas di Kampung Padang Tembak di sini yang disempurnakan oleh Penaungnya, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir merangkap bekas Menteri Besar Perak, hari ini.
Hadir sama Pengerusi Pengelola Maahad Tahfiz Bayt Al-Ikhlas, Prof. Datuk Dr. Wan Sabri Wan Yusof; Pengerusi Yayasan Nur Ikhlas, Datuk Mohd Azmi Othman dan Pengerusi Eksekutif Utusan Melayu (M) Berhad, Datuk Abd. Aziz Sheikh Fadzir.
Pada majlis tersebut, sebanyak empat pelajar maahad tersebut telah berjaya menamatkan hafazan al-Quran lebih awal daripada tempoh dua tahun yang ditetapkan dan mereka menerima wang tunai yang disumbangkan oleh Zambry dan Abd. Aziz.
Ketika ini, terdapat 32 pelajar dipilih menuntut di Maahad Tahfiz Bayt Al-Ikhlas di sini melalui tapisan dalam kalangan anak yatim serta asnaf dengan pendapatan isi rumah tidak melebihi RM2,500.
Kesemua perbelanjaan mereka ditanggung sepenuhnya oleh Yayasan Nur Ikhlas.
Terdahulu, Zambry ketika berucap pada majlis tersebut berkata, penubuhan maahad tahfiz itu antara lain merupakan suatu pelaburan serta perubahan besar dalam melahirkan generasi ulul albab.
“Kita bina harapan pada mereka kerana kebanyakan pelajar yang kita ambil ini tidak mencapai 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR). Saya percaya asas pembentukan minda perlu dibina dengan baik dan asas yang baik ialah dengan membina minda al-Quran,” katanya. – UTUSAN ONLINE











