KUALA LUMPUR 22 Mac – Perhimpunan Solidariti Kedamaian yang akan diadakan esok di Dataran Merdeka hanya dibenar dilakukan bermula pukul 7.30 pagi hingga 11 pagi dengan syarat yang ditetapkan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pihaknya menerima notis permohonan himpunan itu pada 8 Mac lalu.
Menurutnya lagi, polis mengeluarkan notis kebenaran bersyarat tersebut semalam.
“Notis kebenaran sudah diberi kepada penganjur selepas mereka didapati mematuhi syarat penyerahan notis permohonan perhimpunan.
“Kebenaran bersyarat yang diberikan itu diletakkan di bawah kuasa Ketua Polis Daerah Dang Wangi,” katanya ketika ditemui selepas solat Jumaat sempena Hari Polis Ke-212 Tahun 2019 di Masjid Salehin, Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Perhimpunan yang bersandarkan konsep keamanan dan kedamaian, tanpa mengira anutan agama dan ideologi politik dijangka berlangsung selama tiga jam setengah.
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof dipetik berkata, mereka yang akan turun menyertai perhimpunan itu harus memakai pakaian berwarna putih, tanpa membawa sebarang logo parti politik. – UTUSAN ONLINE
Video oleh Basir Abu Bakar











