KUALA LUMPUR 11 Mac – Pemimpin DAP tidak perlu takut dengan penyatuan UMNO-Pas sehingga tergamak melabelkan sebagai Taliban.
Saranan itu disuarakan Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali ‘Papagomo’ yang berkata, pelabelan itu secara jelas menunjukkan bahawa kepemimpinan DAP cuba mempertikaikan hak keistimewaan penganut Islam dan Melayu seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Beliau malah menyifatkan, rentetan siri pelabelan oleh pemimpin DAP menyebabkan orang Melayu bersatu dan bersedia mempertahankan hak mereka tanpa sebarang kompromi malah dibuktikan dengan pelbagai siri himpunan di negara ini.
“Orang Melayu telah bangkit dengan aman dan menolak keganasan seperti dibuktikan dalam himpunan 8 Disember 2018 yang mana ratusan ribu orang Melayu hadir membantah ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).
“Himpunan aman tanpa sebarang keganasan jauh lebih baik daripada himpunan BERSIH yang dipimpin oleh pemimpin DAP,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Ketua Pemuda DAP, Howard Lee yang dianggap biadab serta kurang ajar kerana menyatakan penyatuan UMNO dan PAS adalah Taliban. -UTUSAN ONLINE











