LONDON 16 Mac – Pengendali sementara Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer tidak menolak kemungkinan untuk mendapatkan Gareth Bale dan menegaskan bahawa mereka memerlukan pemain berkualiti.
Bale berdepan situasi tidak menentu di Real Madrid selepas Zinedine Zidane kembali selaku pengurus pasukan dan dia sebelum ini bergelut untuk berada dalam kesebelasan utama semasa musim pertama legenda Perancis itu bersama pasukan.
Zidane diberi kepercayaan untuk membuat perubahan dalam pasukan itu dan berhasrat untuk mendapatkan Kylian Mbappe dan Neymar selain bintang Chelsea, Eden Hazard.
United dikaitkan dengan usaha membawa masuk bekas bintang Tottenham, Bale dan Old Trafford mungkin akan menjadi destinasi terbaik pemain yang berjaya meledak 10 gol dalam semua pertandingan musim ini.
“Saya tidak boleh komen mengenai Gareth Bale atau pemain khusus kerana mereka adalah milik kelab lain.
“Tetapi kami perlukan pemain berkualiti yang mampu memajukan pasukan.
“Banyak faktor yang perlu diberikan pertimbangan untuk seseorang pemain seperti tempoh penglibatan selain personaliti yang baik,” kata Solskjaer.-AGENSI











