GUA MUSANG 30 Mac – Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melaksanakan operasi pemindahan perubatan (Medevac) menghantar pesakit wanita Orang Asli yang mengalami demam panas kritikal ke Hospital Gua Musang, di sini semalam.
Alem Aban, 56, yang tinggal di Kampung Jader, Pos Simpor diserang demam panas kritikal sejak empat hari lalu.
Selain itu, dia juga mempunyai sakit asma dan batuk hingga sakit terlantar di rumahnya.
Pegawai Perhubungan Awam Pangkalan Udara JBPM Subang, Selangor, Penolong Penguasa Bomba Mohd. Farhan Marzuki berkata, penerbangan menggunakan helikopter Agusta A109 E berlepas dari Pangkalan Udara Subang pukul 12 tengahari.

Katanya, helikopter itu kemudian mendarat di Kampung Jader kira-kira pukul 1.25 petang untuk mengambil pesakit terbabit.
“Helikopter yang membawa pesakit itu berjaya mendarat pula di perkarangan Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang pada pukul 1.50 petang.
“Pesakit itu kemudiannya dikejarkan ke hospital dengan ambulans JBPM. Keadaan pesakit stabil selepas menerima rawatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambah Mohd. Farhan, penerbangan itu diketuai Juruterbang, Penguasa Kanan Bomba 1, Roslan Aziz serta dibantu Timbalan Penguasa Bomba Mohd. Faizal Latif bersama seorang lagi anggota.
Katanya, anak perempuan pesakit itu, Shassa Chele, 12, turut mengiringi ibunya menaiki helikopter ke hospital. – UTUSAN ONLINE











