Umpan cacing bawa tuah buat Mohd. Shahid - Utusan Malaysia

Umpan cacing bawa tuah buat Mohd. Shahid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Umpan cacing ternyata mengundang tuah kepada seorang lelaki dan anak saudaranya apabila dinobatkan sebagai juara dan naib juara pertandingan memancing Petaling Jaya (PJ) Joran 2019 di Tasik Bandaran, Kelana Jaya di sini baru-baru ini.

Mohd. Shahid Mispari, 48, membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 dan piala manakala anak saudaranya, Mohd Khairul Amrie, 31, membolot RM2,000 selaku naib juara menewaskan 849 peserta lain.

Katanya, dia menjadi juara selepas menaikkan seekor ikan baung ekor merah seberat 10.865 kilogram (kg) manakala Mohd. Khairul turut menaikkan ikan spesies yang sama seberat 6.53 kg.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kejayaan itu sangat bermakna dan pembakar semangat untuk saya lebih kerap menyertai pertandingan memancing. Tiada apa-apa rahsia yang saya gunakan melainkan menggunakan umpan cacing sahaja.

“Saya sangat gembira dan bersyukur kerana semasa menaikkan ikan ini, sokongan kawan-kawan turut memainkan peranan dan paling manis pemenang di tempat kedua merupakan anak saudara saya yang turut memenangi RM2,000,” katanya.

Tempat ketiga dimenangi oleh Mohd. Riduwan Bilal, 28, yang membawa pulang RM1,000 selepas menaikkan ikan jenis yang sama seberat 5.91 kg.

Hadiah disampaikan oleh Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohd. Azizi Mohd. Zain.

Sementara itu, Mohd. Azizi berkata, acara tahun ini sangat meriah dan berharap ia akan diadakan secara tahunan.

“Dianggarkan seramai 10,000 pengunjung hadir di Tasik Bandaran Tahun dengan menyertai pelbagai acara disediakan seperti Purple Walk–Walk For Health, pertandingan PJ Joran, PJ Smart Ride, senamrobik dan pertandingan sukan tradisional.

“Kita teruja kerana ada pemancing Jepun yang turut menyertai pertandingan selain peserta dari Kuala Lumpur, Perak, Pahang, Negeri Sembilan dan Melaka,” katanya.

Selain Majlis Perbandaran Petaling Jaya, program itu turut dianjurkan secara bersama dengan Oyoshi Green Tea dan Igloo-UFL. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini