KANGAR 7 Mac – UMNO negeri bersedia untuk berkongsi kerusi dengan Pas semasa Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang dalam menjayakan kerjasama antara kedua-dua parti itu demi penyatuan ummah.
Perkara itu dinyatakan oleh Ketua Penerangan UMNO negeri, Datuk Seri Shahidan Kassim yang memberitahu, ia merupakan salah satu pengorbanan yang perlu dilakukan demi masa depan orang Melayu.
Beliau berkata, ini termasuklah kerusi-kerusi yang sebelum ini adalah tradisi UMNO di negeri tersebut sejak sekian lama.
“Dalam perjuangan (mengangkat orang Melayu), mestilah ada pengorbanan dan ini seharusnya kita lakukan. Begitu juga yang dilakukan Pas apabila tidak meletakkan calon dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands dan Semenyih baru-baru ini,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
UMNO dan Pas mengumumkan jalinan kerjasama secara rasmi demi penyatuan ummah dan berikutan itu satu jawatankuasa khas akan dibentuk bagi memperincikan kerjasama tersebut.
Kerjasama itu, walaupun menarik perhatian orang Melayu dan Islam, namun wujud persoalan dalam kalangan masyarakat Cina, India dan lain-lain terhadap gandingan UMNO-Pas yang menjadi dua teras utama masyarakat Melayu sejak sekian lama.
Berikutan itu, ada yang meramalkan bahawa hubungan kerjasama berkenaan tidak akan kekal lama apabila tibanya PRU iaitu semasa pembahagian kerusi-kerusi.
Shahidan seterusnya mengajak UMNO di negeri-negeri lain supaya mencontohi hubungan baik yang tetap terjalin antara parti tersebut dan Pas walaupun ‘berseteru’ dalam setiap kali PRU.
Maka sebab itu, beliau dan rakan-rakan di dalam parti tiada masalah untuk bekerjasama dengan Pas semasa turun berkempen dalam PRK Cameron Highlands dan Semenyih.
“Ini terbukti apabila peti undi yang UMNO Perlis jaga dalam kedua-kedua PRK tersebut telah menang, iaitu hasil kerjasama ini (UMNO dan Pas),” katanya. – UTUSAN ONLINE











