KUANTAN 11 Mac – Kontraktor Melayu dan bumiputera terutama di negeri ini kini berada dalam fasa bertahan ekoran kekurangan projek serta permasalahan yang dibimbangi menyebabkan ramai daripada mereka gulung tikar jika berlarutan tiga hingga empat bulan lagi.
Yang Dipertua Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) negeri, Abdul Gapar Lambak berkata, sebelum ini, penawaran projek daripada syarikat milik kerajaan (GLC) seperti Felcra, Felda dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) banyak membantu kontraktor kecil serta sederhana besar di negara ini namun ketika ini jumlahnya begitu berkurangan.
‘‘Akibat permasalahan ini (kurang projek), ramai kontraktor Melayu tidak dapat bertahan dan

terpaksa menjual lesen mereka selain ada antara mereka yang sedikit berkemampuan menambah bidang lain dan bagi yang tidak berkemampuan, mereka menukar bidang.
‘‘Tiga situasi ini sedang dihadapi oleh kontraktor Melayu khususnya di negeri ini dan kita berharap kerajaan Pusat dan negeri segera mengeluarkan projek-projek bagi membantu kontraktor kecil serta sederhana besar di samping mengaktifkan kembali sumbangan projek oleh GLC,’’ katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Wisma PKMM negeri di sini hari ini.
Abdul Gapar berkata, selain kekurangan projek, antara faktor utama yang memberi masalah kepada kontraktor kelas G1 hingga G7 adalah bayaran tinggi bagi mendapatkan permit kerja air dan pembentungan daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).
Kata beliau, permit SPAN berkenaan bukan paksaan tetapi perlu diperoleh terlebih dahulu sebelum kontraktor hendak masuk sebut harga tender.
‘‘Bagi kontraktor G7 dan G6, mereka perlu membayar RM10,000 setahun bagi permit C1 iaitu kerja air (RM5,000) dan pembentungan (RM5,000).
‘‘Bagi kontraktor G5, mereka perlu mendapatkan permit C2 dengan bayaran RM2,000 (kerja air) dan RM2,000 (pembentungan), permit C3 untuk kontraktor G4 dan G3 dengan bayaran RM750 (kerja air) dan RM750 (pembentungan) manakala kontraktor G2 dan G1 perlu membayar RM400 untuk permit C4 iaitu RM200 (kerja air) dan RM200 (pembentungan),’’ ujarnya.
Tambah beliau, bayaran permit SPAN itu lebih tinggi daripada permit Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) yang mana untuk mendapat lesen induk, kontraktor G7 perlu membayar RM1,400 setahun, G6 (RM1,000), G5 (RM700), G4 (RM350), G3 (RM150), G2 (RM80) dan RM20 untuk kontraktor G1.
‘‘Kita minta kerajaan mengkaji bayaran permit SPAN itu yang tinggi dan membebankan golongan kontraktor. Cadangan kita, bayaran itu dikaji semula sistemnya iaitu jika dapat projek baharu bayar atau daripada setahun sekali bayaran kepada tiga tahun sekali,’’ katanya.










