KUALA LUMPUR 25 Mac – Tugu Peringatan Askar Jepun yang dibina di Jalan Raja, Alor Setar sejak beberapa tahun lalu tidak melibatkan tanah Kerajaan Persekutuan.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, pihaknya telah mengenal pasti perkara tersebut susulan tular dalam media sosial mendakwa kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengiktiraf askar Jepun sebagai wira.
“Saya fikir ia di bawah pengurusan kerajaan negeri. Memang bukan milik kita (Kerajaan Persekutuan). Kita sudah kenal pasti.
“Pembinaan tugu itu bukan di kawasan kita dan bukan di bawah Jabatan Warisan Negara. Kawasan kita adalah sebelah pembinaan tugu itu,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Khamis lalu,Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pelancongan, Seni dan Budaya, Pembangunan Keusahawanan Kedah, Asmirul Anuar Aris merasmikan Tugu Peringatan Askar Jepun anjuran Konsulat Jepun di Pulau Pinang, Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah dan Lembaga Muzium Negeri Kedah di Jalan Raja, Alor Setar, Kedah.
Beliau berkata, tugu yang terletak di Perkarangan Pejabat Kementerian Pelancongan negeri itu sudah lama terbina di situ dan hanya dicantikkan semula menerusi pembiayaan pihak konsulat negara itu.
Walau bagaimanapun, selepas menerima kritikan pelbagai pihak kerana dikatakan memberi gelaran wira kepada tentera Jepun yang menjajah tanah air, papan maklumat berkaitan perkara itu di tugu askar negara tersebut di sini, segera diturunkan semalam. – UTUSAN ONLINE











