Tugas berat Hafizh di Argentina - Utusan Malaysia

Tugas berat Hafizh di Argentina

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PELUMBA ne­gara, Hafizh Syahrin Abdullah mengakui dia berusaha keras sepanjang dua minggu berada di Malaysia dengan melipatgandakan kekuatan fizikal menjelang saingan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) pada Grand Prix (GP) Argentina hujung minggu ini.

Pelumba Red Bull KTM Tech3 tersebut bergelut untuk menyesuaikan diri dengan karakter liar jentera buatan Austria apabila hanya menamatkan perlumbaan di kedudukan tercorot pada GP Qatar.

Situasi berkenaan benar-­benar memberi tekanan kepada pelumba tunggal negara untuk meraih keputusan positif menje­lang sai­ngan di Litar Termas de Rio Hondo, Argentina nanti.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sejak bertukar jentera Yamaha M1 kepada RC16 KTM, ia merupakan prestasi paling buruk direkodkan oleh pelumba berusia 24 tahun itu sepanjang ber­saing dalam kelas premier musim lalu.

Justeru, Hafizh menyifatkan persiapan fizikal adalah keutamaannya bagi memperbaiki tungga­ngan lebih meyakinkan.

“GP Qatar adalah pengajaran berguna dan saya akan bekerja keras meneruskan latihan tanpa henti terutama yang membabitkan fizikal. Saya harap dapat kembali menemui keyakinan untuk memacu jentera KTM.

“Saya ada keyakinan untuk beraksi, namun masih belum menemui kelebihan pada jentera ini. Saya tidak akan berputus asa dan berusaha keras memahami karakter jentera RC16 KTM ini. Banyak perkara ba­haru saya pelajari bersama KTM dan ia adalah sesi pembelajaran berguna kepada saya.

“Menjelang GP Argentina, saya akan lakukan yang terbaik tetapi saya tidak boleh janji 100 peratus. Apa yang saya boleh katakan adalah saya lebih bersedia berbanding di Qatar,” kata Hafizh.

Pada saingan musim lalu ketika menggunakan jentera Yamaha M1, Hafizh melakukan kejutan apabila menamatkan perlumbaan di kedudukan ke­sembilan dengan catatan 41 minit 00.653 saat (s) meskipun memulakan aksi di petak ke-23. Pada sesi kelayakan Hafizh merekodkan satu minit 51.142s.

“Sudah pasti saya mengharap­kan catatan terbaik seperti musim lalu, namun ketika ini segalanya berbeza dan saya perlu mendapatkan pelarasan terbaik. Saya yakin mampu me­nemuinya rentak terbaik tidak lama lagi bermula peringkat demi peringkat perlumbaan,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini