KUALA LUMPUR – Seorang wanita yang penghidap ketumbuhan diterbangkan menerusi penerbangan ihsan oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dari Hospital Universiti Sains Malaysia, Kelantan ke Hospital Umum Sarawak.
Pesakit berkenaan dikenali sebagai Cassandra Inja Anak Umpi, 24, diterbangkan dari Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu menggunakan pesawat TUDM C-130H daripada No. 20 Skuadron, Pangkalan Udara Subang.
Menurut kenyataan TUDM, pesawat yang berlepas pada pukul 12.10 tengah hari dari lapangan terbang berkenaan selamat mendarat pada pukul 2.25 petang tadi di Pangkalan Udara Kuching.
“Penerbangan mengambil masa lebih kurang dua jam 15 minit yang telah dikendalikan oleh Mejar Hamdi Tajuddin selaku juruterbang manakala pembantu juruterbang iaitu Kapt Mohd Aliff Shamsuddin serta tujuh kru pesawat,” demikian menurut kenyataan itu.
Turut mengiringi pesakit berkenaan adalah warisnya, Engdawie Anak Engtingi dan seorang pegawai perubatan, Dr. Karthigesu Murugan. – Bernama











