LONDON 20 Mac – Kieran Trippier mengakui dia bertuah dapat mengekalkan tempatnya dalam skuad England.
Bos England, Gareth Southgate telah memilih tiga bek kanan dengan Kyle Walker dan Trent Alexander-Arnold turut tersenarai bersama Trippier yang bergelut dengan prestasi, musim ini.
Bek kanan Tottenham, Trippier merupakan salah seorang wira England pada Piala Dunia, tetapi mungkin kehilangan tempat dalam kesebelasan utama dan berdepan persaingan dengan pemain sedang meningkat naik dari Crystal Palace, Aaron Wan-Bissaka.
“Saya sepatutnya bermain lebih baik musim ini. Saya ditimpa begitu banyak kecederaan dan saya mengakui terdapat beberapa perlawanan yang memerlukan saya meneliti kembali dan berpendapat yang saya mampu beraksi lebih bagus.
“Anda akan tahu apabila anda mengharungi perlawanan yang teruk, tetapi semua itu satu pelajaran buat saya. Persaingan memang wujud, saya, Trent (Alexander-Arnold), Kyle (Walker), dan anda juga ada Wan-Bissaka yang bermain sangat bagus bersama Palace.
“Tetapi saya berada di sini sekarang, dan saya perlu cuba bermain baik dan merebut tempat dalam kesebelasan utama serta melakukan sehabis baik pada masa sekarang sehingga musim berakhir.
“Orang kata apabila pulang daripada Piala Dunia dan terus beraksi ia hanya akan mengundang kecederaan, tetapi saya tidak pula berfikir sedemikian. Memang bagus jika akan masa untuk berehat, tetapi musim bermula awal, jadi anda perlu segera menyesuaikan diri,” kata Trippier. – AGENSI











