KUALA LUMPUR 30 Mac – Dua pemandu lori cedera selepas sebuah treler merempuh lori sampah yang berhenti di tepi jalan di Kilometer 439.2 arah selatan, Rawang dekat sini hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintenden Azman Shariat berkata, dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 3.40 petang itu, pemandu lori itu, Ravindran, 35, mengalami kecederaan parah dan dirawat di zon merah Hospital Sungai Buloh, dekat sini.
Menurutnya, pemandu lori sampah, Mohamad Nor Syafiq, 25, turut mengalami kecederaan dan dirawat di zon kuning hospital sama.
“Siasatan awal mendapati, lori sampah itu berhenti di tepi jalan kerana mengalami kerosakan sebelum dirempuh treler yang dipercayai hilang kawalan.
“Rempuhan tersebut telah menyebabkan lori sampah menggelongsor ke hadapan dan melanggar sebuah kereta jenis Toyota Hilux yang dipandu mekanik syarikat lori sampah berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN ONLINE











