SYARIKAT tilam yang menggunakan 100 peratus getah asli, Getha meraikan ulang tahun ke-50 penubuhan dengan mengadakan siri jelajah besar-besaran dalam misi mempromosikan tidur berkualiti menerusi produk bermutu keluarannya.
Nama Getha sendiri berasal daripada perkataan getah sekali gus mencerminkan syarikat tersebut mengeluarkan produk diperbuat daripada getah asli Malaysia.
Pameran tujuh hari berakhir 17 Mac lalu itu mengambil tempat di Pavilion Kuala Lumpur dengan membariskan barisan produk berprestij termasuk varian mewah Dream Kingdom berupa tilam klasik bernilai RM43,999.
Selain itu, Getha turut menampilkan edisi produknya yang paling popular, The Compas Luxury yang berharga dari serendah RM3,099 dilengkapi teknologi dipanggil Biocare.
Menawarkan revolusi penyelesaian moden, ia menyasarkan amalan tidur yang baik dengan melindungi tubuh daripada terdedah kepada radiasi ketika tidur dengan mengurangkan kadar elektrik statik dan mencegah bau serta mengurangkan risiko jangkitan penyakit disebabkan bakteria.
Pameran itu turut mengetengahkan kepelbagaian produk Getha yang menggunakan 100 peratus material semula jadi lain selain getah seperti bulu unta, sutera dan bulu kambing biri-biri.
Baru-baru ini, Getha turut memenangi tempat pertama untuk Reka Bentuk Ruang Pameran pada Pameran Perabot Eksport di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) yang berlangsung dari 9 hingga 12 Mac lalu.
Material
Ketua Pegawai Eksekutif Getha Bedding (M) Sdn. Bhd., Melissa Tan berkata, pihaknya teruja dikunjungi pelbagai lapisan masyarakat Malaysia termasuk pelancong untuk mengetahui lebih lanjut mengenai khazanah negara iaitu getah asli.
“Kandungan 100 peratus getah asli ialah material yang menakjubkan dengan kebolehan unik dengan sifatnya fleksibel dan memberi sokongan selesa kepada anggota badan ketika baring untuk melelapkan mata,” ujarnya dalam kenyataan akhbar sempena pameran itu di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Lebih istimewa, Getha turut membawa tiga pelajar dari Sekolah Menengah St. Michael, Penampang, Sabah yang memenangi pingat emas pada Pameran Antarabangsa Harta Intelek, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa (Ipitex), Bangkok, Thailand pada Februari lalu.
Mereka ialah Renoir Fayeed Rehman, 16, Fontaine Mattheus Hiew, 14, dan Alif Afandi Marzuki, 14, yang mengungguli anugerah tersebut menerusi produk terapi tidur dikenali sebagai Bonne Nuit Mask.
“Kami sangat gembira kerana mereka sudi mempromosikan kesihatan tidur yang lebih baik sementelah kita habiskan satu per tiga masa dengan tidur.
“Adalah penting untuk memilih tilam yang baik dan perlindungan tempat tidur yang ideal bagi menyokong proses pemulihan badan kita untuk kesihatan dan kesejahteraan yang optimum,” tambah Melissa.
Kesedaran
Dalam pada itu, wakilnya, Renoir Fayeed ketika ditemui K2 melahirkan rasa bangga dan teruja menjadi sebahagian daripada kempen promosi Getha dalam meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan mendapatkan waktu tidur yang berkualiti.
Katanya, nama produk Bonne Nuit diambil daripada bahasa Perancis yang bermaksud selamat malam.
Ia terbahagi kepada empat jenis rekaan topeng mata dengan masing-masing mempunyai fungsi tersendiri seperti urutan mata dan masker mata aroma terapi yang diperbuat daripada minyak pati semula jadi.
“Sebenarnya saya sendiri pernah menghadapi masalah kekurangan waktu tidur kerana kesibukan sebagai pelajar yang perlu menghadiri kelas tambahan selain menyiapkan kerja rumah yang diberikan guru dan menyertai aktiviti anjuran sekolah atau sebagainya.
“Jika pelajar tidak mengatasi masalah itu, mereka boleh mengalami insomnia dan stres kerana terlalu penat. Dari situlah ilham bagi memperkenalkan produk ini timbul,” tuturnya.
Turut hadir menyambut kedatangan pelajar tersebut ialah Pengurus Perancangan Perniagaan dan Komunikasi Getha Bedding (M) Sdn. Bhd., Amelia Tan.











