KUALA LUMPUR 16 Mac – Tindakan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang secara unilateral memutuskan Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee kekal sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) cukup mengecewakan.
Jawatankuasa Pemandu Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (Bersih 2.0) berkata, Ronald tidak harus diberikan tanggungjawab memegang jawatan itu selepas menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), semalam.
“Mandat PAC adalah menyemak semua akaun awam dan memeriksa laporan Ketua Audit Negara, jadi apabila Ahli Parlimen pembangkang menjadi Pengerusi, beliau dapat memastikan parti pemerintah tidak mempengaruhi agenda PAC.
“Sekiranya Perdana Menteri tidak membatalkan keputusan beliau untuk mengekalkan Ronald Kiandee sebagai Pengerusi PAC, kredibiliti kerajaan Pakatan Harapan (PH) bahkan kehormatan Parlimen akan tercemar dan terjejas,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Semalam, Dr. Mahathir pada sidang akhbar berkata, Ronald tidak perlu meletak jawatan sebagai Pengerusi PAC walaupun jawatan itu untuk Ahli Parlimen pembangkang kerana ia tidak membabitkan dasar dalam kerajaan dan sebahagian daripada perlembagaan. – UTUSAN ONLINE.











