KUALA LUMPUR – Tiga pasukan e-Sukan negara berjaya mewakili zon Asia Tenggara untuk kejohanan Call of Duty (COD) Asia Championship 2019 zon Asia di Hong Kong pada 23 Mac depan.
Wakil Malaysia itu akan berdepan juara Korea Selatan bagi merebut kejuaraan Asia sekali gus melayakkan diri pada kejohanan CWL Anaheim Open 2019 di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) pada 14 hingga 16 Jun depan.
Terdahulu, pada pusingan kelayakan zon Asia Tenggara, pasukan Love Potion muncul juara setelah menumpaskan penyandang juara Asia Championship 2018 iaitu pasukan Rampage dengan keputusan 3-1.
Pengurus Love Potion, Megat Danish Izmeer M. Al Imran meletakkan sasaran untuk melakukan kejutan di pentas Asia sebagai motivasi buat pemain sebelum melangkah ke kejohanan lebih tinggi di AS.
“Pasukan ini mempunyai sasaran untuk menjadi pasukan terbaik Asia bagi menaikkan lagi keyakinan setiap pemain untuk melangkah ke peringkat lebih tinggi.
“Pencapaian kami sedikit sebanyak dapat memajukan industri e-Sukan yang semakin berkembang di Malaysia, terutamanya dalam permainan COD,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.
Malaysia akan diwakili oleh tujuh atlet sementara lima dari Korea Selatan dan Singapura serta tiga dari Filipina.
Empat pasukan yang layak ke Hong Kong adalah pasukan-pasukan COD yang terbaik di Asia. – K! ONLINE











