KUALA LUMPUR 29 Mac – Mendengar nama Kafe Strawberry Fields sudah pasti membuatkan pelanggan tergambarkan kepelbagaian hidangan yang dihasilkan daripada buah strawberi.
Namun tanggapan itu ternyata silap apabila saya berkunjung ke kafe yang terletak di Jalan Tengah, Bandar Baru Petaling Jaya, Selangor kerana tiada sebiji pun buah berkenaan dijual atau dijadikan sajian dalam menu.
Apabila ditanya mengenai asal usul namanya, ia adalah ilham daripada lagu kumpulan The Beatles dari Liverpool, England bertajuk Strawberry Fields Forever yang merupakan lagu kegemaran pemilik kafe berkenaan.
Penasihat Makanan Kafe, Nor Saadah Mohd. Dahan, 34, berkata, sudah menjadi kebiasaaan pelanggan yang berkunjung ke kafe itu akan bertanya mengenai apa hidangan strawberi yang ada.
“Sekurang-kurangnya mereka akan bertanya ada jual strawberi atau tidak. Tapi bagi mereka yang meminati kumpulan The Beatles, mereka pasti faham,’’ selorohnya.
Nor Saadah berkata, kafe itu wujud sejak 1988 dan mula menggunakan nama tersebut pada tahun 2003 dengan menghidangkan lebih 300 menu termasuk makanan Barat, Cina, Thai dan Melayu.
“Kita mendapat idea untuk menyediakan pelbagai jenis makanan halal pada harga berpatutan bermula daripada harga RM1.20 hingga RM25 di kafe ini,” katanya.
Katanya, keistimewaan yang terdapat di kafe itu adalah hidangan makanan yang segar dan dihidang pada skala ‘penuh pinggan’ demi kepuasan pelanggan.
“Antara yang mendapat sambutan di sini adalah keenakan rasa sos dan kuah makanan seperti spagetti.
“Antara yang menjadi kegemaran adalah Chicken Rice yang berharga RM12.45 dan Spagetti Carbonara Chicken (RM13.30),” katanya.
Pilihan lain termasuk Butter Fried Chicken, Sanghar Prawns Fried Noodles, Grilled Chicken with Brown Sauce, Cantonese Koey Teow with Beef dan pencuci mulut seperti Sago Gula Melaka dengan Aiskrim Vanila dan minuman seperti Pineappale Celery Lemon serta pelbagai aneka kopi jenama Illy.
Kafe Strawberry
Alamat – Lot 14, Jalan Tengah, Bandar Baru Petaling Jaya, Selangor
Waktu operasi
Isnin hingga Khamis dan Ahad : 11 pagi hingga 1 pagi
Jumaat dan Sabtu :
11 pagi hingga 2 pagi











