SAUDAGAR PENGARANG,
JAWAPAN kepada perkara berbangkit mengenai dakwaan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) mengadakan operasi menangkap kucing jalanan di Larkin Central pada 18 Februari lalu, kami tidak melaksanakannya seperti didakwa.
Aktiviti tangkapan kucing hanya dijalankan jika aduan diterima. Selepas kucing terbiar ditangkap, ia akan ditempatkan di dalam paun selama 14 hari bagi membolehkan pemilik membuat tuntutan jika haiwan tersebut mempunyai pemilik.
MBJB juga mengalu-alukan orang ramai yang sudi menjadikan haiwan ini sebagai kucing angkat dalam keluarga mereka (merujuk syarat-syarat ditetapkan dan tidak menjadi kacau ganggu awam).
Jika tiada tuntutan dibuat, kucing tersebut akan diserahkan kepada pertubuhan bukan kerajaan yang berminat. Kebajikan haiwan terbiar di dalam paun juga dititikberatkan di mana kucing-kucing tersebut diberi makan sebanyak tiga kali sehari.
Paun tahanan kucing juga sentiasa dibasuh sebanyak dua kali sehari dan dibersihkan supaya najis tidak menyebarkan penyakit kepada kucing-kucing lain.
Hakikatnya di sini tiada sebarang aktiviti put to sleep (PTS) ke atas kucing-kucing yang berada di dalam tahanan.
JABATAN KESIHATAN MBJB











