KUALA LUMPUR – Tiada konsensus dicapai antara parti komponen di dalam Barisan Nasional (BN) mengenai resolusi untuk membubarkannya sebagaimana yang dicadangkan oleh MCA.
Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, resolusi itu yang disampaikan oleh MCA pada Mesyuarat Dewan Tertinggi BN semalam hanya boleh dilaksanakan sekiranya semua parti komponen BN mempersetujuinya.
“Cadangan pembubaran BN itu adalah sebahagian daripada resolusi MCA menerusi Mesyuarat Agung parti berkenaan. Kita ambil berat saranan yang dibuat tersebut.
“Sehubungan itu, kita akan wujudkan satu jawatankuasa di peringkat negeri dan seterusnya di Parlimen bagi menstruktur semula gerak kerja BN dan membolehkan kita bergerak ke hadapan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Terdahulu, beliau menghadiri Mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Menara Dato’ Onn, Jalan Tun Ismail di sini yang turut dihadiri oleh Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong dan rakan sejawatnya di MIC, Tan Sri S. A. Vigneswaran.
Dalam pada itu, Mohamad mengesahkan bahawa Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor kekal sebagai Setiausaha Agung BN memandangkan pelantikan Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz ke jawatan tersebut tidak pernah disahkan oleh parti komponen BN.
“Tengku Adnan masih kekal sebagai Setiausaha Agung kerana beliau tidak pernah meletakkan jawatan. Peranan itu akan dipegang sehingga satu tarikh iaitu sama ada beliau meletakkan jawatan atau diberhentikan,” katanya.
Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO memberitahu, MCA dan MIC juga tidak mempunyai halangan sekiranya UMNO menjalin kerjasama dengan Pas atas dasar penyatuan ummah kerana ia memberi kelebihan kepada BN.
Katanya, kerjasama dijalin tersebut membuahkan hasil sebagaimana yang dapat dilihat ketika Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Semenyih baru-baru ini.
“Kita telah bentang kepada MCA dan MIC mengenai kerjasama dengan Pas dan ia diterima oleh mereka. Ia difahami dan turut disokong,” katanya. – K! ONLINE











