WELLINGTON 26 Mac – Sebuah tembok khusus untuk orang ramai menulis mesej bagi menyatakan kasih sayang serta sokongan kepada mangsa serangan keganasan di Christchurch sedang diwujudkan di sini.
Lapor NZ Herald, berikutan serangan pengganas yang meragut 50 nyawa itu, mesej sokongan grafiti muncul di sekitar bandar dan Majlis Bandaraya Wellington berharap untuk menggalakkan orang ramai berkongsi perasaan mereka pada dinding berkenaan.
Ruang itu diwujudkan di Te Ngākau Civic Square pada dinding berhampiran bangunan dewan perbandaran tertutup dan akan dikekalkan selama tiga bulan.
“Kami menyedari masyarakat Wellington mahukan tempat untuk menunjukkan sokongan mereka kepada masyarakat Islam, pendatang, dan mereka dari latar belakang pelarian,” kata Datuk Bandar Wellington, Justin Lester, hari ini. – AGENSI











