KUALA LUMPUR 9 Mac – Kementerian Kesihatan mempunyai kepakaran dalam penggunaan teknologi kecerdasan buatan AI bagi membasmi nyamuk aedes dan wabak denggi di negara ini.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, sehubungan itu pihak kementerian berhasrat memperluaskan penggunaan AI supaya dapat mengenal pasti kawasan yang berpotensi tinggi kes denggi sebagaimana langkah pencegahan yang telah dilaksanakan di Pulau Pinang sebelum ini.
“Kajian daripada Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) telah menunjukkan keberkesanan yang baik dalam pelaksanaan AI.
“Jika sumber kewangan negara boleh memperluaskan penggunaannya ke negeri lain maka kementerian akan memanfaatkan teknologi itu secara lebih lanjut kerana kita mempunyai pakar AI,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Gotong-Royong Mega Perangi Aedes 1.0 di Program Perumahan Rakyat (PPR) Seri Alam Fasa 2, Cheras, di sini hari ini.
Tambahnya, dengan penggunaan teknologi AI, kawasan panas denggi akan dapat dikesan dan pelaksanaan akan dimulakan di ibu kota serta Selangor yang menunjukkan peningkatan kes denggi dalam tempoh lebih dua dekad ini.











