Tambak laut, kelompok nelayan mahu perjumpaan dengan Kerajaan Negeri P. Pinang - Utusan Malaysia

Tambak laut, kelompok nelayan mahu perjumpaan dengan Kerajaan Negeri P. Pinang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PULAU PINANG 1 Mac – Kelompok nelayan khususnya yang terlibat dalam projek tambak laut di perairan selatan negeri ini berharap dapat bertemu dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang bagi membincangkan nasib mereka ekoran rancangan projek tersebut.

Pengerusi Persatuan Nelayan Pulau Pinang, Nazri Ahmad berkata, sehingga kini, kelompok nelayan itu tidak pernah dipanggil dalam sebarang perbincangan mengenai projek itu sama ada bersama barisan kerajaan negeri mahpun konsultan projek.

Sedangkan, kata beliau, mereka merupakan pihak yang paling teruk terjejas dengan rancangan projek itu apatah lagi kawasan yang ingin ditambak kaya dengan sumber marin seperti ikan, udang dan ketam di negeri ini.

“Sejak sekian lama, kawasan yang ingin ditambak itu merupakan lubuk penting bukan hanya kepada lebih 5,000 nelayan di negeri ini, malah nelayan dari negeri lain turut mencari rezeki di situ.

“Sebab itu kami bimbang dengan masa depan kami kerana rancangan menambak laut di kawasan tersebut akan menutup periuk nasi dan punca rezeki kami,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang ketika ini merancang menambak laut di Permatang Damar Laut di sini bertujuan membentuk tiga buah pulau buatan yang kemudiannya akan dijual sebagai modal bagi menampung kos pelan induk pengangkutan (PIP) negeri yang dianggarkan bernilai RM46 bilion.

Menurut Nazri, pihaknya sebelum ini pernah menghantar dua permohonan kepada kerajaan negeri terdahulu untuk bertemu dan berbincang namun tidak mendapat maklum balas.

Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan negeri baharu di bawah Ketua Menteri, Chow Kon Yeow bersedia berjumpa dengan komuniti nelayan secara tertutup memandangkan surat permohonan juga sudah dihantar.

Tambah beliau, pertemuan itu penting bagi membolehkan pihaknya membentangkan cadangan Pelan Transformasi Pemodenan Nelayan dalam memastikan nasib nelayan tetap terbela sekiranya projek tersebut kekal diteruskan.

“Kami mengambil masa selama empat bulan untuk menyediakan pelan ini yang antara lain supaya memastikan nasib dan masa depan kami dapat ditransformasikan menjadi lebih moden selaras dengan rancangan tambak laut yang mahu dijalankan.

“Antaranya supaya kerajaan negeri dapat membantu kami menyediakan bot nelayan dan jeti yang lebih moden memandangkan kami kelak terpaksa menangkap ikan di kawasan laut yang lebih jauh selepas kawasan ini ditambak,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN