Masyarakat kota Surabaya mengatakan nama asal Surabaya adalah daripada perkataan Suro dan Boyo. Suro ialah ikan sura (jerung) dan boyo (buaya) yang melambangkan satu perpaduan walaupun mereka berasal daripada tempat berbeza. Begitulah warga Surabaya ini, mereka berasal daripada pelbagai suku, agama, etnik dan kaum, namun dapat hidup dengan rukun damai dalam bermasyarakat.
Kota ini terkenal sebagai salah satu kota paling teratur di Indonesia. Kota ini telah memenangi pelbagai anugerah kelestarian alam sekitar. Surabaya adalah bandar tersusun yang dapat dilihat melalui aturan pusat perniagaan dan kawasan kediaman. Di samping itu, kerajaan tempatannya merancang mengindahkan semula bandar dengan agresif melalui pembinaan taman-taman dan menetapkan laluan pejalan kaki di hampir setiap penjuru kota.
Antara tempat-tempat menarik dan menjadi tumpuan pelancong di Surabaya adalah Kenjeran Park Surabaya, Masjid Sunan Ampel, Sanggar Agung (kuil), Mangrove Wonorejo, Surabaya North Quay, House of Sampoerna (muzium), jambatan Suramadu yang menghubung di antara Surabaya dan Pulau Madura, Food Junction Grand Pakuwon dan Kafe-kafe instragrammable.
Surabaya juga terkenal sebagai kota pendidikan. Di sini banyak pusat pengajian tinggi terkenal, seperti Universitas Airlangga (Unair), Universitas Tujuh Belas Agustus (Untag) dan juga Universitas Surabaya (Ubaya).
Unair adalah universiti ketiga terbaik di Indonesia. Universiti ini sangat luas yang terbahagi kepada tiga kampus iaitu Kampus A, Kampus B dan Kampus C. Bangunan rektorat (canselori) Unair terletak di Kampus C yang dikelilingi taman yang menghijau dan juga tasik khas yang terdapat angsa-angsa putih dan ikan-ikan menarik.
Unair terkenal dengan program antarabangsa yang melibatkan program pertukaran pelajar dan ahli akademik yang dibiayai universiti tersebut. Justeru, universiti ini terkenal di peringkat antarabangsa.
Di samping tarikan alam sekitar, kota ini juga memiliki sejumlah pusat beli-belah yang pelbagai. Antara barangan yang terkenal di Surabaya adalah batik dan kain pasang. Antara pusat beli-belah yang menjadi tumpuan adalah Tungungan Plaza, Jembatan Merah Plaza (JMP) (pusat kain), ITC Mega Grosir Surabaya (pusat pakaian fesyen tempatan), Pasar Atom Mall (kiosk-kiosk pakaian), Pusat Grosir Surabaya (PGS) (pusat borong), Darmo Trade Center (DTC) (keperluan harian), Pasar Genteng Baru (pasar tradisional dan tempatan), Jalan Semarang (pusat penjualan buku-buku terpakai) dan Hi-Tech Mall (gajet).
Selain itu, Surabaya terkenal dengan pelbagai jenis masakan yang kaya dengan rasa manis, masin dan pedas seperti gula-gula nano-nano.
Kepelbagaian makanan ini hasil daripada kepelbagaian penduduk yang datang dari banyak daerah dan mereka membawa ciri-ciri etnik masing-masing seperti Madura, Melayu, Cina, Jawa Tengah, Bali, Lombok dan Flores.
Antara makanan terkenal di Surabaya adalah sate klopo, tauhu tek, penyet surabaya, nasi bebek, soto lamungan chak har dan sop rawon.
Masyarakat Surabaya juga terkenal dengan sopan-santun, merendah diri dan memuliakan tetamu. Hubungan silaturahim yang terjalin sejak sekian lama dipelihara sebaik-baiknya. Sesungguhnya rakyat Surabaya adalah masyarakat yang dilihat amat berdikari.











