RANTAU PANJANG 4 Mac – Paras air Sungai Golok dilihat mulai kering kesan fenomena cuaca panas dan kering yang sedang melanda Kelantan ketika ini.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati beting pasir mulai kelihatan di beberapa kawasan di sepanjang Sungai Golok bermula dari Pekan Rantau Panjang sehingga ke Bukit Lata dekat sini..
Seorang penduduk Che Abdullah Che Kassim, 55, berkata, paras air Sungai Golok mula kering sejak dua minggu lalu ekoran cuaca panas.
Menurutnya, jika cuaca panas ini terus belanjutan dia tidak menolak kemungkinan Sungai Golok akan menjadi kering.
“Saya tetap berdoa agar fenomena panas ini tidak berpanjang kerana Sungai Golok turut menjadi nadi kepada penduduk setempat,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Mengikut laporan portal infobanjir.water.gov.my paras air Sungai Golok ketika ini berada pada tahap 3.75 meter berbanding normal iaitu 5 meter.
Tahun 2015 lalu, air Sungai Golok menjadi kering kontang ekoran fenomena el-nino sehinggakan penduduk boleh berulang alik ke Thailand dan Kelantan dengan berjalan kaki. -UTUSAN ONLINE










