KUALA LANGAT – Hasrat pasangan suami isteri untuk melancong ke Ipoh, Perak tidak kesampaian apabila mereka maut dilanggar sebuah kenderaan ultiliti sukan (SUV) ketika melintas jalan di Kilometer 22, Jalan Klang-Banting berdekatan simpang lampu isyarat Sri Cheeding, di sini pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.15 pagi itu, Tan Kian Seng, 65, mati di lokasi kejadian manakala isterinya, Ng Swee Liew, 58, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Banting.
Turut cedera parah dalam kemalangan tersebut ialah jiran kepada pasangan terbabit, Tan Soo Chin, 70.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Azizan Tukiman berkata, siasatan awal pihaknya mendapati kejadian berlaku sewaktu ketiga-tiga mangsa sedang melintas jalan untuk menaiki sebuah bas.
Beliau berkata, mereka akan mengikuti rombongan ke Ipoh, Perak dengan menaiki sebuah bas persiaran yang sedang menunggu di seberang jalan tersebut.
“Ketika melintas, sebuah SUV jenis Subaru XV yang sedang menuju ke Pekan Banting dari Klang gagal mengelak kesemua mangsa sebelum merempuh mereka.
“Akibat rempuhan itu, Kian Seng meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala, manakala dua lagi dibawa ke Hospital Banting untuk rawatan lanjut,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Azizan menambah, bagaimanapun Swee Liew disahkan meninggal dunia selepas sejam menerima rawatan di hospital itu.
Ujar beliau, seorang lagi mangsa yang juga jiran kepada pasangan itu patah kaki dan sedang mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta.
“Mayat kedua-dua mangsa telah dituntut oleh ahli keluarganya kira-kira pukul 1 petang tadi.
“Siasatan di lokasi kejadian mendapati keadaan jalan di kawasan itu gelap dan tiada lampu jalan,” katanya.
Jelas beliau, pihaknya telah merakan keterangan daripada pemandu SUV itu yang berusia 33 tahun dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE











