Suami isteri hidup mewah jual dadah - Utusan Malaysia

Suami isteri hidup mewah jual dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPALA BATAS 13 Mac – Taktik sepasang suami isteri berselindung di sebalik perniagaan kecil-kecilan bagi menutup kegiatan mengedar dadah mereka akhirnya terbongkar selepas polis menyerbu rumah pasangan berkenaan di Sungai Dua, Butterworth, di sini semalam.

Dalam serbuan kira-kira pukul 5.15 petang itu, suami isteri berkenaan yang masing-masing berusia 40 dan 41 tahun turut ditahan di rumah jenis dua tingkat yang didiami mereka.

Serbuan oleh anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di rumah itu juga menemukan dadah jenis syabu seberat 505 gram bernilai RM75,750.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor, serbuan itu dibuat hasil risikan dan maklumat orang awam terhadap kehidupan mewah pasangan berkenaan yang menjalankan aktiviti mengedar dadah sejak dua bulan lalu.

Katanya, selain dadah, pihaknya turut menjumpai wang tunai berjumlah RM220,000 dan barang kemas bernilai RM24,400 yang disimpan di dalam rumah pasangan warga tempatan berkenaan.

Selain itu, tambah beliau, polis turut menyita dua buah kereta bernilai RM52,000 untuk siasatan lanjut.

“Pasangan suami isteri yang mempunyai dua anak ini dilihat menjalani kehidupan mewah meskipun hanya berniaga kecil-kecilan.

“Kegiatan pengedaran dadah adalah untuk pasaran tempatan yang mana dadah yang dirampas itu boleh digunakan oleh 2,525 penagih sekiranya terlepas ke pasaran,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Noorzainy, pasangan suami isteri itu kini direman  selama tujuh hari hingga Isnin depan di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi siasatan lanjut dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini