SABAK BERNAM – Tindakan dua lelaki menyorok dadah di dalam bantal gagal mengaburi polis dalam serbuan Ops Tapis di sebuah rumah di Kampung Pasir Panjang, Sekinchan semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Deputi Superintendan Lim Chee Khoon berkata, dalam serbuan pukul 11 pagi itu berjaya merampas dadah jenis heroin seberat 70.65 gram bernilai RM 2,000.
Katanya, kesemua dadah itu dijumpai di dalam tiga paket plastik lut sinar yang disimpan di dalam bantal oleh dua suspek.
“Susulan itu, kedua-dua suspek berusia 26 dan 47 tahun itu kemudiannya ditahan dengan mempunyai rekod lama berkaitan dadah dan mencuri.
“Dua suspek itu kini direman selama tujuh hari bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam di sini hari ini. – K! ONLINE











