LONDON 27 Mac – Louis van Gaal sama sekali tidak percaya bahawa Ole Gunnar Solskjaer mengubah corak permainan Manchester United sejak menggantikan Jose Mourinho dan percaya dia masih menggunakan taktikal “park-the-bus”.
Solskjaer berjaya memulihkan prestasi serta moral United sejak menajdi pengurus sementara bermula Disember lalu.
Walaupun kekalahan berturut-turut kepada Arsenal dalam saingan liga dan Wolverhampton dalam aksi Piala FA merencatkan kempen mereka namun United berjaya berada dalam kelompok empat teratas Liga Perdana Inggeris selain berjaya ke suku akhir Liga Juara-Juara.
Meskipun tiada keputusan untuk melantik Solskjaer sebagai pengurus tetap, Van Gaal percaya, pengendali itu perlu diberikan pujian kerana berjaya mengembalikan suasana positif dalam kem United.
“Pengendali selepas saya (Mourinho) menggunakan konsep bertahan dan serangan balas.
“Sekarang ini, pengendali baharu juga menggunakan pendekatan sama. Perbezaan utama di antara Mourinho dan Solskjaer ialah Solskjaer menang banyak perlawanan.
“Saya tidak berada di sana tetapi suasana menjadi semakin baik. Solskjaer juga mengubah posisi Paul Pogba dan meletakkannya di kedudukan yang penting.
“Tetapi cara mereka bermain sekarang tidak sama seperti Alex Ferguson. Masih dengan konsep bertahan dan serangan balas.
“Jika awak suka, awak akan suka. Jika awak rasa ia lebih menarik berbanding cara permainan menyerang saya. OK. Tetapi ini adalah realiti,” katanya.-AGENSI











