KUALA LUMPUR 13 Mac – Skuad Denggi Patrol Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Keramat Wangsa akan mempromosikan langkah pencegahan denggi dalam Program Pemantapan Jati Diri dan Ikon Remaja di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dekat sini, Sabtu ini.
Guru Penyelaras, Rofidah Rodzi berkata, skuad yang disertai 40 orang murid berkenaan ditubuhkan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat tentang bahaya demam denggi dan langkah pencegahannya.
“Antara aktiviti yang pernah disertai skuad ini adalah program komuniti seperti gotong-royong di kawasan perumahan, persembahan kesedaran tentang bahaya denggi dan sebaran maklumat melalui laman media sosial seperti Facebook, Instagram dan Youtube sepanjang tahun lalu,” katanya.
Rofidah berkata, skuad itu juga telah menyertai program Gotong-Royong Mega Perangi Aedes Peringkat Kebangsaan yang dirasmikan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad di Program Perumahan Rakyat (PPR) Seri Alam 2, Cheras di sini, Sabtu lalu.
Beliau berkata, pihaknya menerima banyak jemputan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai wabak denggi dan akan mengadakan persembahan dengan kerjasama Pusat Kesihatan Titiwangsa di pusat beli-belah Aeon AU2, Keramat pada 6 April ini. – UTUSAN ONLINE











