SHAH ALAM 15 Mac – Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari mengarahkan langkah mitigasi membendung dan membersihkan sisa kimia yang dibuang pihak tidak bertanggungjawab di kolam takungan di Taman Eng Ann di Klang petang semalam, bagi mengelak kejadian tidak diingini ke atas penduduk.
Dalam kenyataannya Amirudin berkata, siasatan lanjut telah dilakukan bagi mengenal pasti pihak yang membuang sisa kimia itu dan satu laporan polis juga sudah dibuat Lembaga Urus Air Selangor (LUAS).
“Pihak LUAS telah memulakan kerja-kerja mitigasi serta membendung sejak pukul 8 malam semalam dan pagi ini telah dilantik bagi memulakan proses pembersihan dan dijangka mengambil masa dua hari untuk diselesaikan.
“Saya juga telah meminta Unit Bencana Negeri Selangor memantau perkembangan semasa dan berkerjasama dengan LUAS, Majlis Perbandaran Klang (MPK) serta Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri untuk menyelesaikan masalah ini,” katanya di sini hari ini.
Petang semalam, penduduk di Taman Eng Ann cemas apabila menemukan sisa kimia yang dibuang di kawasan perumahan mereka ketika negara masih lagi terkejut dengan isu kimia di Johor yang menjejaskan lebih 2,000 mangsa. – UTUSAN ONLINE











