Simpan 200 akhbar pelbagai negara - Utusan Malaysia

Simpan 200 akhbar pelbagai negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SATU demi satu naskhah akhbar dikeluarkan oleh lelaki berusia 32 tahun itu daripada sebuah kotak kecil tanpa penutup yang disimpan dalam bilik tidurnya.

Kerja berkenaan dilakukan oleh Hafiz Ithnin dengan berhati-hati bagi memastikan akhbar tersebut tidak rosak atau terkoyak.

Hafiz mengambil masa hampir 20 minit untuk mengeluarkan semua naskhah-naskhah akhbar yang kebanyakannya sudah bertukar warna kekuningan akibat dimamah usia.

Memuatkan artikel berkaitan…

Akhbar pelbagai saiz dan bahasa itu disusun teratur oleh Hafiz pada ruang kosong lantai ruang tamu rumahnya yang dianggarkan berkeluasan 5 meter persegi.

Meskipun begitu, masih banyak lebihan akhbar yang tidak dapat disusun olehnya disebabkan kekangan ruang.

“Ini semua adalah sebahagian daripada koleksi akhbar yang berada dalam simpanan saya. Saya boleh susun separuh saja untuk sesi fotografi kali ini.

“Ada lagi separuh akhbar tidak dapat disusun di sini disebabkan ruang yang terhad,” ujar Hafiz ketika ditemui K2 di kediamannya di Sungai Besi, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Hafiz yang berasal dari Johor Bahru, Johor merupakan seorang pengumpul akhbar dari seluruh dunia.

Dianggarkan terdapat lebih 200 buah akhbar pelbagai negara dalam koleksi Hafiz, antaranya dari Asia, Eropah, Amerika Utara, Amerika Selatan, Afrika utara dan Australia.

Menariknya, terdapat beberapa naskhah akhbar popular dan rare dalam koleksi simpanan Hafiz seperti New York Times, Washington Post, Milenio dan Daily New-Miner.

Menurut Hafiz, dia mula mengumpul semua akhbar tersebut pada tahun 2007 sewaktu menuntut di peringkat Ijazah Sarjana Muda Komunikasi daripada Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.

Jelasnya, minat berkenaan tercetus selepas salah seorang pensyarah menunjukkan koleksi akhbar-akhbar simpanannya di dalam kelas.

Mengkaji

Dia memaklumkan, tujuan pensyarah tersebut menunjukkan akhbar-akhbar tersebut adalah untuk membantu mahasiswa mendapat gambaran mengenai susunan berita dan kolum.

“Pertama kali melihat akhbar milik pensyarah yang kebanyakan dari Britain itu membuatkan saya berasa sangat kagum. Jadi, saya nekad mencari lebih banyak akhbar dari negara lain.

“Saya fikir, pasti lebih menarik kalau dapat melihat dan mengkaji akhbar-akhbar dari negara-negara lain,” jelas lelaki berkulit sawo matang itu.

Minat berkenaan diteruskan oleh Hafiz sehingga ke hari ini seiring dengan tugasnya sebagai seorang wartawan di sebuah syarikat akhbar tempatan.

Anak bongsu daripada lima adik beradik itu memaklumkan, koleksi akhbar tersebut banyak membantunya mendapatkan idea dalam penulisan dan susunan gambar.

“Hobi ini banyak didorong oleh kerjaya saya sebagai seorang wartawan. Jadi, saya perlu sentiasa merujuk akhbar dari negara-negara lain.

“Tujuannya adalah untuk memastikan berita yang ditulis sentiasa terbaik dan seiring dengan pemberita akhbar-akhbar terkemuka dunia lain,” katanya.

Rata-rata akhbar dalam simpanan Hafiz menggunakan bahasa pertuturan penduduk setempat dan bukannya bahasa Inggeris.

Menurut Hafiz, dia sengaja berbuat demikian bagi memastikan keaslian bahasa dan tulisan sesebuah negara sekali gus meningkatkan nilai estetika.

“Setiap negara ada beberapa buah akhbar popular sama ada berbahasa Inggeris atau bahasa tempatan lain. Ia sama seperti akhbar di negara ini yang pelbagai bahasa.

“Jadi, saya lebih suka memilih akhbar bahasa yang dituturkan oleh majoriti masyarakat tempatan. Misalnya, bahasa Tamil di India, Mandarin (China), bahasa Perancis (Perancis).

“Meskipun, satu perkataan pun saya tidak faham. Namun dengan melihat gambar dan lampiran, sudah cukup memberi kepuasan kepada saya,” jelasnya.

Selain kepelbagaian bahasa, akhbar dalam koleksi Hafiz juga mempunyai ciri-ciri berbeza sama ada dalam aspek saiz dan kualiti kertas yang digunakan.

Akhbar di negara maju seperti Arab Saudi, Kuwait dan Emiriyah Arab Bersatu menggunakan kertas berkualiti dengan warna gambar lebih terang.

Ia berbeza dengan akhbar di negara miskin dan membangun seperti Bangladesh, Myanmar dan India yang menggunakan kertas kurang berkualiti dan helaiannya tidak berwarna.

Malah, susunan berita dalam akhbar di negara-negara membangun dan miskin sangat daif dengan satu helaian naskhah tabloid dimuatkan sehingga 15 laporan.

“Menarik sebenarnya apabila mengkaji perbezaan yang ada pada akhbar di setiap negara. Di negara maju, kualiti kertas akhbarnya seperti sebuah majalah sebab rakyatnya berkemampuan.

“Di negara membangun dan miskin, syarikat penerbitan akhbar lebih ingin menyampaikan berita kepada masyarakat tanpa mempedulikan cara penyampaian,” terang Hafiz.

Kebanyakan akhbar dalam koleksi Hafiz diperoleh sendiri oleh Hafiz sewaktu melancong atau melakukan liputan di luar negara.

Kesayangan

Terdapat juga beberapa koleksi akhbar dalam simpanan Hafiz dihadiahkan oleh rakan-rakan sewaktu mereka berkunjung ke luar negara sebagai tanda cenderamata.

Antara naskhah yang menjadi kesayangan dan paling bernilai kepada lelaki bertubuh tinggi lampai itu ialah Al-Quds dari Palestin, Daily New-Miner (Alaska) dan Yedioth Ahronoth (Israel).

Cerita Hafiz, akhbar Yedioth Ahronoth yang diperoleh pada tahun 2016 daripada seorang rakan yang membuat kerja sukarelawan di Palestin merupakan naskhah paling bernilai pada dirinya.

“Akhbar ini kawan saya beli di sempadan Palestin-Israel. Apabila dia minta untuk beli, penjual di sana cakap sudah habis. Malah, penjual itu menyembunyikannya di bawah tempat duduk.

“Ini disebabkan rakan saya seorang Muslim. Selepas beberapa kali memujuk akhirnya peniaga itu sudi untuk menjual kepada kawan saya.

“Akhbar ini bernilai bagi saya kerana sukar untuk rakyat Malaysia masuk ke Israel kerana tidak dibenarkan oleh imigresen,” ujarnya.

Berbeza pula dengan akhbar Daily New-Miner, Hafiz memperolehnya ketika melancong selama sebulan ke negara beriklim sejuk itu pada tahun 2017.

Jelasnya, akhbar tersebut sangat bernilai kerana Alaska merupakan sebuah kawasan terpencil dan jarang dikunjungi pelancong.

Hobi mengumpul akhbar tidaklah semudah yang disangka kerana ia mempunyai cabaran tersendiri. Salah satunya ialah memastikan ia tahan lama dan tidak rosak. Tegas Hafiz, helaian akhbar mudah rosak sekiranya disimpan dengan cara yang salah.

“Sebelum ini, saya pernah membingkaikan setiap akhbar dan meletakkannya pada dinding rumah. Namun, lama-lama kertasnya bertukar kuning dan ada rosak.

“Jadi, saya terpaksa keluarkan balik dari bingkai dan simpan kembali dalam kotak. Kalau letak dalam kotak ini kena hati-hati takut ada anai-anai atau lipas,” katanya.

Terdapat juga beberapa syarikat akhbar dalam simpanan Hafiz beralih kepada online akibat perkembangan teknologi maklumat pada masa kini.

Situasi ini menjadikan koleksi akhbar Hafiz semakin bernilai dan ia pastinya menjadi perhatian generasi pada masa akan datang.

Minat mendalam Hafiz mengumpul akhbar dari seluruh dunia dapat membantu pemuda itu mencari idea dalam penulisan dan susunan gambar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini