KUALA LUMPUR – Pemegang rekod half maraton wanita kebangsaan, S. Sheela sedia mempertahankan gelaran juara dua tahun berturut-turut Cabaran Dua Lebuh Raya IJM Allianz menjelang penganjuran tahun ini.
Cabaran Lebuh Raya Baru Pantai (NPE) dengan jarak half maraton iaitu 21 kilometer (km) dan 10km akan bermula pada 14 Julai ini manakala Cabaran Lebuh Raya Sungai Besi (Besraya) dengan jarak 26km dan 13km dijadualkan berlangsung 24 Ogos depan.
Sheela sedar ia bukan satu tugas mudah kerana memerlukan persiapan lebih rapi jika mahu terus menguasai ‘dua lebuh raya’ itu yang penganjurannya dilihat lebih mencabar berbanding tahun-tahun sebelum ini.
“Berlari di Besraya lebih mencabar daripada larian di NPE kerana kali ini jaraknya 26km berbanding 13km tahun lalu. Larian Besraya kali ini dianjurkan waktu malam dan ia lebih memenatkan kerana banyak laluan mendaki.
“Apa pun saya perlu bersedia sepenuhnya untuk menghadapi cabaran baharu ini. Saya juga sebenarnya sudah tidak sabar untuk menyertai penganjuran kali ini,” katanya pada majlis pelancaran Cabaran Dua Lebuh Raya IJM Allianz 2019 di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan IJM Corporation Berhad, Datuk Soam Heng Choon berharap penganjuran tahun ini dapat menarik 17,000 peserta mengambil bahagian berbanding 15,000 disertai tahun lalu.
“Cabaran Lebuh Raya Besraya lebih menarik kerana larian maraton waktu malam pertama diadakan di lebuh raya tertutup. Ia pastinya memberikan pengalaman larian yang lebih sejuk dalam keadaan selamat dan terkawal,” jelasnya.
Pengarah Urusan Kumpulan EC Pixels, Eugene Chan berkata, pihaknya sudah menerima hampir 6,000 penyertaan dan jumlah tersebut dijangka meningkat selepas ini dan ia mampu mencapai sasaran 17,000 peserta untuk penganjuran tahun ini. – K! ONLINE











