KUALA LUMPUR 18 Mac – Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein mempersoalkan tindakan Kementerian Pertahanan yang hanya mahu menunggu Kertas Putih Pertahanan bagi menentukan keputusan lanjut oleh kerajaan bagi berdepan isu pengganas.

HISHAMUDDIN TUN HUSSEIN
Beliau yang juga merupakan bekas Menteri Pertahanan menjelaskan, insiden serangan pengganas di Christchurch, New Zealand baru-baru ini mewajarkan untuk kerajaan mengambil tindakan segera berhubung diplomasi pertahanan dengan negara-negara yang terlibat.
“Apa yang berlaku di New Zealand cukup membimbangkan kerana itu bermakna tiada negara yang terkecuali, apabila Kementerian Pertahanan kata mahu tunggu Kertas Putih bagi berdepan dengan pengganas, sepatutnya kita melihat kepada diplomasi pertahanan apa yang berlaku sekarang di sekeliling kita.
“Perlu untuk Malaysia mengambil tindakan segera dan negara-negara terlibat perlu duduk berbincang dan memikirkan kaedah yang terbaik. Apa yang perlu dilakukan sekarang ini adalah diplomasi pertahanan kita yang wujud begitu lama digunakan,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.
Sementara itu, tambah Hishamuddin, susulan kejadian di New Zealand, Malaysia mempunyai kelebihan untuk memperkasakan aspek diplomasi pertahanan kerana menganggotai Kerjasama Pertahanan Lima Negara (FDPA) yang turut disertai Singapura, United Kingdom, New Zealand dan Australia.
“FDPA ini mesti digerakkan untuk melihat apa yang berlaku di New Zealand itu secara serius serta Islamfobia dan serangan terhadap umat Islam di negara-negara berkenaan.
“Ini ada kaitan juga dengan hubungan kita dengan Filipina dan Indonesia dalam kerjasama trilateral dalam hubung kait dengan pengganas di selatan Filipina, telahpun kita wujudkan trilateral dahulu, takkan lah itu pun kita mahu tunggu kertas putih kerana perkara ini telahpun wujud dahulu,” katanya. – UTUSAN ONLINE











