GEORGE TOWN – Kira-kira 40 rakyat Malaysia yang berada di Christchurch, New Zealand mengadakan acara keagamaan dengan melakukan solat hajat, solat Maghrib berjemaah dan bacaan Yasin hari ini.
Acara berkenan diadakan di rumah salah seorang mangsa yang cedera dalam serangan berdarah di Masjid Al-Noor di Christchurch, Rahimi Ahmad, 39, kira-kira pukul 7.30 petang waktu New Zealand atau pukul 12.30 tengah hari waktu Malaysia.
Ahli Dewan Undangan Negeri Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz berkata, majlis itu disertai oleh rakan-rakan Rahimi, pelajar-pelajar dari Malaysia dan keluarga mangsa-mangsa yang cedera.
“Saya turut serta pada majlis berkenaan yang juga dihadiri wakil Wisma Putra, Datuk Nadzirah Osman selain Exco Kebajikan Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Phee Boon Poh turut hadir.
“Selepas majlis itu, satu perbincangan diadakan dengan ahli keluarga mangsa dengan Datuk Nadzirah dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke New Zealand, Nur Izzah Wong Mee Choo bagi mencari jalan terbaik bagi memasikan semua urusan berjalan lancar,” katanya menerusi aplikasi WhatsApp di sini hari ini.
Azrul Mahathir dan Boon Poh merupakan wakil kerajaan Pulau Pinang yang mengiringi ahli keluarga Rahimi iaitu ibunya, Rokiah Mohamad, 65, dan abangnya, Rosdi, 42, yang berlepas ke negara berkenaan pada Sabtu lalu bagi mengikuti perkembangan keadaan mangsa.
Dua lagi mangsa rakyat Malaysia yang cedera dan sedang dirawat di hospital bersama Rahimi ialah Mohd. Nazril Hisham Omar, 46, dan Mohd. Tarmizi Zhuib, 42.
Anak lelaki Mohd. Tarmizi, Mohd. Haziq, 17, bagaimanapun dilaporkan masih hilang setakat ini.
Dalam pada itu, Azrul Mahathir berkata, Nur Izzah turut menyampaikan sumbangan kepada ketiga-tiga keluarga mangsa bagi mewakili pihak yang enggan dikenali.
“Selain itu, Wisma Putra memberi bantuan segera berupa wang kepada keluarga mangsa.
“Namun saya difahamkan, ada yang masih belum menerimanya berikutan terdapat masalah teknikal dengan pihak bank dan ia akan diselesaikan segera,” katanya.
Setakat ini, 50 orang dilaporkan maut dalam serangan tembakan rambang oleh seorang pengganas berkulit putih yang menyasarkan dua buah masjid di Christchurch ketika jemaah sedang menunaikan solat Jumaat pada Jumaat lalu. – K! ONLINE











