KUALA LUMPUR – Anggota polis diarah memantau kuil dan gereja di negara ini susulan insiden tembakan rambang di dua masjid di Christchurch, New Zealand, Jumaat lepas.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, beliau telah mengeluarkan arahan serta-merta kepada semua ketua polis negeri dan ketua polis daerah berhubung perkara itu.
“Sebaik sahaja insiden itu berlaku, saya telah mengarahkan ketua polis dan semua pegawai lapangan berjaga-jaga.
“Pantau gereja atau kuil dan sebagainya, takut ada serang balas dan semua tindakan telah diambil,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara koperasi Polis Diraja Malaysia, RESPA (Pegawai-Pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia) dan PKIM (Persatuan Industri Keselamatan Malaysia) di Bukit Aman hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai tahap keselamatan selepas insiden tembakan rambang di Christchurch, yang kini dilaporkan telah mengorbankan 50 nyawa.
Dalam perkembangan lain, mengulas tangkapan 13 individu terlibat kumpulan pengganas baru-baru ini, Mohamad Fuzi berkata, pihaknya menyiasat sekiranya terdapat anggota Abu Sayyaf Group atau Maute bersembunyi di semenanjung selain di Sabah.
“Siasatan akan dilakukan secara menyeluruh, mereka ini melarikan diri daripada pihak berkuasa Filipina dan kami tidak benarkan mereka ini (berada di negara ini),” katanya.
Semalam, Mohamad Fuzi berkata, 13 individu ditahan di sekitar Semporna dan Tambunan di Sabah kerana disyaki terlibat dengan kumpulan pengganas dalam operasi selama dua hari bermula 11 Mac.
Katanya, 12 warga Filipina termasuk seorang wanita dan seorang lelaki warga tempatan itu disyaki terlibat dalam beberapa kumpulan Abu Sayyaf Group (ASG), kumpulan pengganas Maute atau kumpulan Royal Sulu Force (RSF). – Bernama











