Serangan Christchurch: Keluarga harap Haziq ditemui selamat - Utusan Malaysia

Serangan Christchurch: Keluarga harap Haziq ditemui selamat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR – Ibu saudara kepada rakyat Malaysia, Mohd. Haziq Mohd. Tarmizi, 17, yang hilang selepas serangan berdarah di Masjid Al-Noor di Christchurch, New Zealand pada Jumaat lalu terus menaruh harapan agar anak saudaranya itu ditemui dalam keadaan selamat.

Mariani Shuib, 49, berkata, dia dan seluruh ahli keluarga tetap mendoakan yang terbaik buat Mohd. Haziq walaupun kehilangannya masuk hari keempat hari ini.

“Haziq masih hilang sehingga hari ini dan tiada sebarang perkembangan tentangnya setakat ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kata beliau, adik bongsunya, Mohd. Tarmizi, 42, yang masih dirawat di Hospital Christchurch akibat terkena tembakan hanya memaklumkan secara ringkas menerusi aplikasi WhatsApp bahawa anak kedua daripada empat beradik itu belum ditemui.

“Dia (Mohd. Tarmizi) tidak mahu menyatakan lebih lanjut tentang Haziq kerana dia mungkin berasa susah hati dan rasa sensitif memandangkan keadaannya yang belum pulih sepenuhnya.

“Haziq sangat rapat dengan Tarmizi dan ibunya, Marina Hamzah, 46, jadi kita boleh bayangkan bagaimana perasaan mereka ketika ini,” ujarnya.
Mariani pada masa sama meminta seluruh rakyat Malaysia mendoakan agar Mohd. Haziq selamat dan dapat ditemui dengan segera.

“Saya juga memohon kepada semua pihak agar tidak membuat andaian tentang Haziq termasuk mengatakan anak saudara saya itu telah meninggal dunia di Facebook. Apa yang boleh saya katakan adalah tunggu maklumat sahih daripada Wisma Putra,” katanya.

Tambahnya, dia dan abang, Zakaria, 55, serta sepupu, Nordina Ahmad Fauzi, 30, mengambil penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang ke Singapura pada pukul 3 petang ini seterusnya berlepas ke New Zealand pada pukul 7 malam hari yang sama. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini