Lupakan sejenak hal atau urusan di pejabat, sebaliknya pergunakan peluang bercuti untuk meluangkan masa bersama keluarga tercinta.
Bercuti bersama keluarga memberi kelebihan kepada ibu bapa untuk meluangkan sepenuh masa bersama anak-anak di satu lokasi pilihan.
Salah satu lokasi dalam negara yang menarik dan menjadi pilihan adalah di Sabah yang mempunyai pelbagai keunikan termasuk kepelbagaian etnik dan destinasi pelancongan.
Saya amat teruja ke negeri itu kerana mendapat tahu perkataan `bossku’ yang tular sekarang begitu popular di sana. Itu cara orang Sabah memanggil orang lain dengan lembut dan gaya sopan tanpa mengambil kira pangkat dan kedudukan. Anda boleh memanggil seseorang dengan perkataan tersebut sekali pun hanya untuk memesan makanan di restoran. Semudah itu.
Wahai `bossku’ sekalian, tidak lengkap percutian ke negeri tersebut jika tidak berkunjung ke Kundasang yang dikenali sebagai lokasi terbaik untuk melihat pemandangan Gunung Kinabalu.
Mendapat jolokan New Zealand Malaysia, Kundasang beriklim sejuk dan nyaman selain tenang serta jauh daripada kesesakan lalu lintas.
Malah Kundasang menjadi pilihan keluarga untuk membawa anak-anak untuk menikmati masa bercuti di samping merapatkan hubungan kekeluargaan.
Di Kundasang, pelbagai aktiviti boleh dilakukan bersama ahli keluarga termasuk berkunjung ke Mesilau Cat Village yang terletak kira-kira 10 minit dari pekan Kundasang.
Namun, untuk ke rumah kucing itu sedikit mencabar kerana jalan sempit, tidak rata, berlubang serta berbatu.
Terdapat lebih 100 ekor kucing pelbagai baka yang dipelihara untuk menarik kunjungan pelancong.
Kanak-anak pasti gembira bermain dan melihat telatah kucing yang manja dan jinak.
Mesilau Cat Village mengutamakan faktor kebersihan bagi mengelakkan kucing-kucing atau pelancong diserang penyakit.
Pelancong diwajibkan memakai sanitizer sebelum memasuki rumah kucing tersebut bagi tujuan kebersihan.
Percutian di Kundasang diteruskan dengan melawat Desa Dairy Farm iaitu sebuah ladang ternakan tenusu.
Anda seperti berada di luar negara kerana pemandangannya amat menarik dan mengasyikkan.
Selain berpeluang memberi lembu yang diternak makan dan minum, pelancong wajib mencuba produk segar seperti susu, puding dan ais krim gelato yang sangat sedap.
Daya tarikan sebenar di sini adalah ladang lembu yang menghasilkan sekitar 900,000 liter susu setahun.
Sekiranya mempunyai masa terluang boleh singgah ke Kolam Air Panas yang terletak di Ranau iaitu 40 kilometer dari Taman Kinabalu.
Sekiranya membeli tiket masuk ke Taman Kinabalu, anda boleh memasuki kolam air panas tersebut secara percuma.
Kolam air panas yang mengandungi sulfur dikatakan baik untuk kesihatan dan menyegarkan badan amat sesuai untuk aktiviti santai bersama keluarga.
Sekiranya tidak menyukai air panas, anda boleh bermandi manda di kolam air biasa yang terdapat di sana.
Pusing pulau
Sabah juga dikenali sebagai sebuah negeri yang memiliki keindahan pulau yang terkenal termasuk yang terletak di sekitar Kota Kinabalu.
Untuk ke pulau-pulau tersebut, anda perlu menempah pelbagai pakej di Jesselton Point.
Kali ini, kami memilih untuk ke Pulau Sapi dan Manukan.
Pulau Sapi terkenal dalam kalangan pelancong dan merupakan pulau yang paling ramai dikunjungi.
Apabila sampai ke Pulau Sapi, anda pasti kagum melihat air laut yang berwarna biru kehijauan dan amat jernih.
Jangan lepaskan peluang untuk bermandi manda atau bermain air laut di samping melihat kehidupan laut seperti ikan secara dekat.
Walaupun hanya dua jam berada di sini. namun cukup puas menikmati pemandangan yang indah.
Pulau Manukan merupakan lokasi terbaik untuk aktiviti menyelam dan bersantai kerana suasananya yang tenang dan cantik.
Di Pulau Manukan terdapat gerai yang menjual makanan dan memudahkan pelancong untuk ‘mengisi perut’ setelah penat bermain air laut.
Syurga makanan laut
Berkunjung ke Sabah bermakna menu wajib yang patut dicuba adalah makanan laut. Makanan laut di sini pelbagai, sedap, murah dan segar.
Sabah bukan sahaja merupakan negeri yang terkenal dengan makanan laut yang segar malah pelbagai menu lain juga boleh menjadi pilihan pelancong.
Jika anda penggemar makanan laut, jangan lepaskan peluang menikmati makanan tersebut pada harga yang berpatutan.
Jika inginkan kelainan, anda boleh mencuba lokan bakar yang banyak dijual di warung tepi jalan.
Isi lokan yang lebih kenyal memberi kelainan ketika memakannya, namun amat sedap.
Lokan akan dibakar kira-kira 20 minit dan rasanya berbeza mengikut resipi dan penyediaan.
Sekiranya anda berada di Kota Kinabalu, sudah pasti mencari makanan laut adalah tidak sukar kerana majoriti kedai di situ menyediakan makanan tersebut.
Antara yang terkenal adalah di Pasar Filipina. Selain menikmati makanan laut di situ, anda juga berpeluang untuk membeli makanan laut, keropok, baju dan perhiasan lain pada harga yang jauh lebih rendah.
Selain makanan laut, mereka yang gemarkan perhiasan dan cenderahati pasti akan teruja melihat hasil kraftangan buatan tradisional dari luar bandar dan mutiara pelbagai warna. Uniknya, semuanya boleh dibeli dengan harga murah sekiranya anda bijak menawar dengan penjual sehingga kedua-dua belah tangan menjinjing beg yang dengan barang belian.











