Saya pun kecewa dengan mereka – PM - Utusan Malaysia

Saya pun kecewa dengan mereka – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR 25 Mac – Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini membalas kenyataan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar yang menzahirkan rasa kecewa dengan prestasi kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Secara ringkas, Perdana Menteri ketika menjawab soalan me­ngenainya berkata, biarlah orang hendak kecewa kerana beliau juga merasai situasi yang sama.

“Takpalah banyak orang kecewa, saya pun kecewa dengan diorang (mereka),” demikian reaksi ringkas Dr. Mahathir ketika ditemui selepas menyampaikan ama­nat khas Perdana Menteri kepada penjawat awam Kedah di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…
NURUL IZZAH ANWAR
NURUL IZZAH ANWAR

Dalam wawancaranya bersama akhbar Singapura, The Straits Times, Nurul Izzah meluahkan rasa kecewanya terhadap kerajaan PH yang gagal menunaikan janji dan gagal mengge­rakkan agenda reformasi seperti sepatutnya.

“Perlu bekerja dengan bekas diktator yang telah menyebabkan pelbagai kerosakan, bukan sahaja dalam hidup (keluarga) kami bahkan kepada sistem (pemerintahan negara), ia bukan mudah.

“Saya betul-betul mahu (usaha) mengangkat agenda reformasi menjadi fokus utama kami,” kata anak sulung Datuk Seri Anwar Ibrahim itu dalam wawancara tersebut.

Dalam wawancara itu, Nurul Izzah turut mengumumkan hasratnya untuk tidak lagi bertan­ding dalam pilihan raya selepas penggalnya sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh tamat setelah meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) setelah tidak bersetuju dengan kenya­taan Dr. Mahathir yang mahu mengekalkan Datuk Seri Ronald Kiandee sebagai Pengerusi PAC.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai tindakan ahli PAC dari kalangan Ahli Parlimen pembangkang meletakkan jawatan berkuat kuasa serta-merta, Dr. Mahathir secara ringkas berkata, terpulang kepada mereka untuk bertindak demikian.

“Takpalah mereka nak letak jawatan, letaklah, itu mereka punya hal,” kata Pengerusi PH itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini