MELAKA 28 Mac – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengakalan Batu, Norhizam Hassan Baktee menjelaskan kedatangannya ke Menara Taming Sari semalam sebelum terlibat dalam `pergaduhan’ dengan seorang pengayuh beca sebenarnya bertujuan menyelesaikan permasalahan dihadapi golongan itu.
Namun katanya, beliau tidak sangka seorang pengayuh beca merakam video perbincangan itu secara sembunyi sebelum tiba-tiba mencetuskan provokasi kononnya beliau mendakwa pengayuh beca tidak bersekolah.
“Saya tidak cakap pun pengayuh beca tidak bersekolah, cuma saya berbincang saya hendak `sekolahkan’ mereka untuk belajar mengenai kaedah terbaik menarik lebih ramai pelancong kerana mereka ini duta kecil.
“Antara cadangan saya termasuk mereka ini (pengayuh beca) perlu menjalani kursus jangka pendek kerana ia penting bagi memberikan imej baik kepada pelancong luar, itu sahaja niat saya,” katanya dalam sidang akhbar di Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan di Banda Hilir di sini sebentar tadi.
Norhizam mengulas mengenai rakaman video tular ‘pergaduhan’ beliau dengan seorang pengayuh beca yang berlaku di hadapan Menara Taming Sari.
Video berdurasi 1 minit 35 saat itu berlaku ketika Norhizam yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Pembangunan Usahawan dan Industri Asas Tani negeri melawat kawasan tersebut.
Sewaktu berbincang dengan beberapa peniaga di kawasan itu, berlaku ‘pergaduhan’ antara Norhizam dengan perakam video tersebut sebelum wakil rakyat itu terpaksa ditenteramkan oleh orang ramai.
Sementara itu, Pengarah Pembangunan Usahawan Dewan Perniagaan Melayu Melaka (DPMM) yang juga pengusaha kedai Raja Cendol Taming Sari, Mohd. Zamri Mohd. Taib memaklumkan, kedatangan Norhizam semalam ke kawasan itu adalah atas jemputannya bagi mengatasi beberapa permasalahan yang timbul.
“Saya berbincang dengan YB Norhizam secara elok, dan pada masa yang sama terdapat beberapa pengayuh beca lain dan kami semua bersetuju dengan langkah beliau untuk membantu para pengayuh beca di kawasan itu.
“Bagi saya, perkataan `tidak sekolah’ itu bukan keluar dari mulut YB tetapi individu yang merakamkan video itu yang tiba-tiba muncul dan membuat provokasi,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE











