LONDON 19 Mac – Bintang remaja sensasi, Callum Hudson-Odoi mengharungi musim menakjubkan apabila dipanggil menyarung jersi skuad senior England dalam kempen kelayakan Kejohanan Eropah (Euro) 2020.
Bagi pemain sayap Chelsea berusia 18 tahun itu, perkembangan terkini kariernya cukup luar biasa, apatah lagi dia tidak pernah beraksi buat skuad bawah 21 (B-21) England.
Hudson-Odoi berkata, dia sudahpun tiba di Bristol semalam selepas mengharungi perjalanan sejauh 140 batu kerana namanya berada dalam skuad England B-21 yang akan menentang Poland dan Jerman dalam aksi persahabatan.
Bagaimanapun, sejurus selepas dia duduk untuk makan tengah hari di kafetaria, Ketua Jurulatih England B-21, Aidy Boothroyd menyuruhnya mengharungi satu lagi perjalanan sejauh 140 batu dari Bristol ke St George’s Park dan melapor diri kepada Gareth Southgate.
“Ia sesuatu yang mengejutkan buat saya apabila dipanggil menyertai England buat kali pertama. Ini adalah impian saya dan ia ibarat mimpi menjadi nyata.
“Semua orang di sini sangat merendah diri dan peramah. Mereka sentiasa memastikan anda berasa selesa. Tiada yang berlagak diva, harap saya dapat mengenali mereka dengan lebih rapat,” kata Hudson-Odoi, pemain Chelsea termuda menyarung jersi Three Lions.
Sementara itu, Boothroyd berkata, Hudson-Odoi pada mulanya menjangka beliau bergurau ketika mengarahkan pemain itu pergi ke St George’s Park.
“Ketika bertemu dengannya, saya beritahu..Saya ada berita baik dan buruk buat kamu.
“Berita baik, kamu dipanggil menyertai skuad senior dan berita buruk, kamu masih perlu melapor diri kepada saya pada musim panas (Jun) nanti.
“Dia memandang saya seolah-olah berkata ‘apa masalah kamu’. Dia langsung tidak senyum, sebelum akhirnya menguntum senyuman lebar apabila sedar saya tidak bergurau,” kata Boothroyd.
Hudson-Odoi hanya beraksi selama 119 minit bersama Chelsea dalam saingan Liga Perdana Inggeris musim ini.
Selain Hudson-Odoi, England turut memanggil pakar sepakan bebas Southampton, James Ward-Prowse, selain Declan Rice (West Ham) untuk menghadapi dua aksi kelayakan Euro 2020 menentang Republik Czech di Wembley, Sabtu ini, diikuti bertandang ke Montenegro, Selasa depan. – AGENSI











