KETUA jurulatih Selangor, B. Sathianathan ternyata kurang senang dengan spekulasi masa depannya selepas beliau diperkatakan bakal digantikan oleh bekas pengendali Persib Bandung, Indonesia iaitu Mario Gomez.
Sathianathan, 60, tanpa berselindung membidas khabar angin tersebut dan pada masa sama mempertikaikan calon-calon jurulatih import yang disebut-sebut sebagai penggantinya jika benar beliau dipecat skuad Gergasi Merah selepas ini.
“Saya tidak kutuk tetapi kenapa semua jurulatih import? Mario Gomez, Bojan Hodak, (Ramon) Marcote tetapi kenapa bukan jurulatih tempatan akan ambil tempat saya?
“Cuba anda semak semula, cuma pengendali Perak (Mehmed Durakovic) dan (pengendali-pengendali) di JDT (Johor Darul Ta’zim) yang berjaya memenangi kejuaraan bersama pasukan mereka.
“Selebihnya dimenangi oleh jurulatih-jurulatih tempatan sejak kebelakangan tahun ini. Jadi, adakah jurulatih tempatan tidak bagus?,” soalnya pada sidang akhbar selepas tamat perlawanan menentang Kuala Lumpur pada aksi Liga Super di Stadium Kuala Lumpur, Cheras Ahad lalu.
Kemenangan dramatik 3-2 ke atas Kuala Lumpur secara tidak langsung meredakan tekanan pada bahu Sathianathan yang akhirnya berjaya merasai nikmat meraih tiga mata pertama selepas gagal melakukannya dalam lima perlawanan terakhir.
Selangor dengan reputasi gah sebagai juara 33 kali Piala Malaysia itu cuma mampu mencatatkan tiga keputusan seri dan dua kekalahan sebelum ini.
Justeru, masa depan bekas pengendali Felda United itu bersama Selangor akan lebih terjamin jika skuad Gergasi Merah berjaya merakam kemenangan kedua berturut-turut dengan menewaskan Terengganu FC I (TFC I) pada aksi Liga Super di Stadium Shah Alam pada 31 Mac ini.











